PADA Mei lalu, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan berjaya menghimpunkan kesemua 19 parti dengan memberi signal bahawa kerajaan ketika ini berada dalam keadaan kukuh dan stabil sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Tidak kurang juga, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada minggu lalu yang mencipta sejarahnya tersendiri apabila ia turut dihadiri pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Malah tiada lagi kedengaran laungan ‘No Anwar, No DAP’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) seperti mana PAU sebelum ini.
Biarpun dua peristiwa besar itu berjaya meletakkan seteru-seteru lama politik ini di bawah satu bumbung dalam Kerajaan Perpaduan, namun hubungan UMNO-DAP di peringkat akar umbi dikatakan masih kelihatan ‘lesu’ terutamanya menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, kerjasama antara UMNO dan DAP dilihat semakin progresif tetapi hubungan yang terjalin masih suam-suam kuku kerana masing-masing mempunyai ideologi politik yang berbeza.
"Bohong sekiranya saya memberitahu segala perkara melibatkan UMNO-DAP di dalam keadaan baik atau sempurna. Hubungan dan ikatan terbina ini pasti akan mengambil sedikit masa.
"Semasa penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) dahulu, kami perlu bekerjasama dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum berjaya memperoleh kemenangan di Cameron Highland.
"Oleh itu, kita menjangkakan perkara yang sama dengan DAP. ‘Perkahwinan’ paksa ini memang tidak manis pada mulanya namun pasti akan ada keserasian bersama apabila berjaya menemui sentimen yang boleh melengkapi antara satu sama lain,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambah Mohammad Sollehin, PRN kali ini bukan sekadar ingin mencapai kemenangan, tetapi medan menguji bagaimana kerjasama itu dapat dibentuk melalui pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
"UMNO mempunyai beberapa kerusi yang dituntut begitu juga parti komponen lain. Keadaan sedikit berbeza apabila PRN kali ini melibatkan kerusi pertembungan kawasan-kawasan di bandar.
"Kawasan luar bandar majoritinya dikuasai oleh UMNO atau Amanah (Parti Amanah Negara) jadi solidariti itu betul-betul perlu dipraktikkan di kawasan bandar melibatkan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
"Kita perlu main peranan penting dalam mencipta strategi bagaimana mahu bekerjasama untuk memiliki kawasan-kawasan yang ada pengaruh campur seimbang antara BN dan DAP,” ujarnya.
Selain itu, UMNO turut mendengar pendapat semua akar umbi termasuk permohonan maaf yang dituntut daripada DAP kerana wujudnya sedikit pergeseran dan luka-luka sejarah lama sama seperti kerjasama yang pernah dilakukan bersama Pas suatu ketika dahulu.
"Semasa bekerjasama dengan Pas, kita tidak pernah menyuruh Pas minta maaf, begitu juga sebaliknya. Bagi saya, sekiranya kita asyik merujuk sejarah lama, ia tidak akan selesai.
"DAP sudah mengeluarkan kenyataan dan saya bersetuju kita perlu move on dan mewujudkan naratif yang baharu. Fokus sekarang adalah mencari cara bagaimana untuk saling melengkapi dan bantu menampung kekurangan parti masing-masing,” katanya
PERLU TOLERANSI
Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah berpandangan, tidak ada satu parti pun boleh berpuas hati dan yakin mempunyai kedudukan selesa di arena politik ketika ini.
"Bagi saya, akar umbi sudah faham bahawa UMNO bukan lagi berada dalam keadaan yang begitu selesa tetapi DAP boleh menghormati institusi keagamaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Rukun Negara.
"Konsep sekarang ini, tiada siapa pun yang lebih hebat. BN pernah memimpin kerajaan lebih 60 tahun lamanya begitu juga DAP yang menjadi pembangkang dalam tempoh yang sama.
"Apabila kedua-dua berada dalam kerajaan sekarang, ia dapat meyakinkan rakyat dan menguatkan lagi kerajaan untuk mengurus tadbir negara dengan tata kelola yang lebih baik,” katanya.
Jelas beliau, PRN ini merupakan test ground bersama komponen-komponen untuk lebih fokus agenda besar seperti PRU16.
"Kita semua mesti belajar saling hormat-menghormati institusi parti masing-masing. Harus diingatkan bahawa UMNO-DAP dan sekutu komponen yang lain bukan lagi pihak lawan.
"Malah, UMNO duduk di dalam BN manakala DAP berada di bawah PH. Tiada bendera atau agenda yang menggunakan logo UMNO atau DAP untuk memudahkan rakyat faham konsep masing-masing. Toleransi yang kuat perlu dalam membina satu pasukan yang kuat untuk PRU16,” katanya.
BELUM MEYAKINKAN
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berpendapat, suara pimpinan tertinggi UMNO masih tidak mampu meyakinkan penyokong untuk terus bekerjasama dengan DAP.
"Bagi saya, solidariti tersebut belum cukup meyakinkan penyokong UMNO untuk memberi sokongan kepada DAP. Sentimen agama, hak orang Melayu serta pendidikan merupakan isu-isu yang sering dikaitkan dengan DAP namun gagal dijelaskan oleh pimpinan tertinggi UMNO.
"Saya melihat kerjasama ini hanya sementara disebabkan UMNO yang tidak mendapat sokongan dalam konteks politik sekarang. Ahli-ahli UMNO kelihatan tidak serius untuk menerima DAP disebabkan isu parti itu masih hangat dibincangkan pada PAU yang lalu,” katanya.
Tambahnya, isu persengketaan UMNO-DAP tidak mudah diselesaikan kerana ia melibatkan semua penyokong-penyokong UMNO dalam sejarah politik tanah air yang sangat panjang semenjak penubuhan parti itu pada tahun 1946.
"Penerimaan DAP dalam gabungan politik hanya dibuat melalui Majlis Tertinggi UMNO. Biarpun tidak semua bersetuju dengan cadangan tersebut, perkara itu dimeterai atas dasar pembentukan Kerajaan Perpaduan.
"Banyak gabungan DAP yang melibatkan parti-parti lain seperti Pas yang tidak sampai ke penghujung kerana matlamat dan dasar yang berbeza. Ini adalah tunjang kepada kekuatan parti yang perlu difikirkan UMNO jika ingin mendapat sokongan dan perhatian rakyat,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca