SHAH ALAM - Individu panas baran hingga bertindak mencederakan orang lain bukan hanya perlu dikenakan tindakan undang-undang, malah wajar diwajibkan menjalani program khidmat masyarakat sebagai langkah untuk lebih bijak mengawal sikap amarah.
Pensyarah dan Penyelidik Psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mohd Awang Idris berkata, pendekatan bersifat mendidik dilihat lebih sesuai untuk dilaksanakan dalam isu berkaitan pengurusan sikap amarah tersebut.
Menurutnya, manusia secara umumnya normal memiliki sikap marah disebabkan keadaan atau tekanan tertentu, namun apa yang membezakan adalah tentang bagaimana cara memberi respon kepada perkara tersebut.
"Saya lihat, kaedah mewajibkan individu berkenaan menjalani kerja sosial atau kemasyarakatan adalah langkah yang baik tetapi dengan syarat bahawa tindakan dibuat itu bukan bersifat hukuman semata-mata tetapi lebih kepada mendidik supaya mereka boleh belajar untuk mengawal kemarahan.
"Malah, saya juga berpandangan individu-individu ini juga perlu dipastikan menjalani terapi sebagai proses pemulihan diri agar dapat menangani sikap amarah serta tidak bertindak di luar batasan sekiranya berdepan dengan situasi yang boleh mendatangkan kemarahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Awang berkata, sudah tiba masa juga untuk kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan pusat mengawal kemarahan seperti dilaksanakan di negara-negara maju.
Katanya, kempen kesedaran untuk mengawal pengurusan sikap amarah juga penting untuk dipromosikan pada ketika ini dengan mengambil kira banyak insiden seumpama itu sering dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini terutamanya membabitkan pengguna jalan raya.
"Kalau dilihat ketika ini kerajaan banyak memberi penekanan kepada isu kemurungan, ia merupakan sesuatu yang baik tetapi kita juga kena melihat kepada cabaran hari ini, ramai orang gagal mengawal sikap marah, meskipun berdepan dengan insiden kecil.
"Ini membuktikan bahawa masyarakat kita sangat memerlukan rawatan pengurusan sikap amarah dan ia wajar diberi perhatian serius,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca