SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil kira dua faktor selain daripada gaji dalam pengelasan semula kriteria golongan B40, M40 dan T20 supaya lebih sesuai dan tepat.
Penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, dua faktor itu ialah jumlah bilangan isi rumah dan lokasi tempat tinggal.
"Pendekatan berasaskan pendapatan B40, M40 dan T20 tidak begitu tepat. Sebagai contoh, jika seseorang bergaji RM5,000 maka dia dikategorikan sebagai M40 tetapi jika individu berkenaan tinggal di Kuala Lumpur, purata perbelanjaan isi rumah yang diperlukan adalah RM6,000.
"Jadi individu terbabit tidak mempunyai pendapatan lebih guna. Jumlahnya adalah defisit dan mungkin terpaksa berhutang,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi menyeluruh dan akan menghapuskan pengelasan B40, M40 serta T20 secara berperingkat mulai 2024.
Ahmed Razman turut menjelaskan penghapusan berkenaan secara tidak langsung akan membantu kerajaan untuk membantu lebih banyak golongan memerlukan.
Beliau yang menjadikan subsidi petrol RON95 sebagai contoh memberitahu, sebanyak 35 peratus bantuan itu dinikmati oleh T20 yang mana kumpulan tersebut sebenarnya berkemampuan.
"Jadi dengan melaksanakan pengelasan semula dengan meneliti aspek pendapatan isi rumah, bilangan ahli keluarga dan lokasi tempat tinggal ia boleh memberi kelebihan kepada kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang sepatutnya..
"Kini, matlamat kita adalah untuk mengenal pasti mereka yang memerlukan dan tidak sepatutnya pendapatan isi rumah dijadikan kriteria semata-mata untuk pengklasifikasian,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengelasan pendapatan kasar B40, M40 dan T20 telah disalah tafsir malah menjadi kayu pengukur oleh pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, pengklasifikasian itu diperkenalkan oleh Bank Dunia bagi memudahkan pengukuran pendapatan kasar untuk setiap isi rumah setiap negara.
Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berpendapat, langkah kerajaan dalam membangunkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan menyelesaikan permasalahan pelaksanaan subsidi bersasar.
Jelasnya, jika PADU berjaya dilaksanakan ia secara tidak langsung akan mengurangkan perbelanjaan subsidi kerajaan yang mana sebelum ini mencecah RM80 bilion pada tahun 2022.
Klik di sini untuk terus membaca