SHAH ALAM - Golongan muda mengakui diri mereka mudah marah berikutan tekanan hidup dan stres tetapi mempunyai cara tersendiri untuk mengatasinya supaya kemarahan tersebut tidak membawa mudarat kepada orang lain.
Seorang pelajar universiti, Nurul Syahirah Faqihah, 22, berkata, situasi yang sering menyebabkan dia gagal mengawal kemarahan adalah apabila perlu berurusan dengan rakan yang acuh tak acuh dalam menyiapkan tugasan berkumpulan yang diberikan pensyarah.
"Perkara seperti ini menyebabkan saya cepat stres dan marah. Kadangkala ada individu dalam kumpulan tersebut buat acuh tak acuh terutama pada saat tarikh akhir nak hantar tugasan sehingga terjadi pertengkaran," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun, Nurul Syahirah berkata, dia mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada individu terbabit buat sementara waktu bagi meredakan kemarahan.
"Selain itu, saya pergi rawat diri di tempat-tempat yang tenang supaya dapat lupakan masalah tersebut," ujarnya.
Seorang lagi pelajar universiti, Muhammad Fikri Ramlan, 22, berkata, bebanan kerja yang banyak menyebabkan anak muda mudah hilang sabar.
"Ada masa saya perlu bahagi masa untuk belajar dan melakukan aktiviti kokurikulum atau program-program di universiti.
"Selain nak dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, saya kena aktif di universiti supaya seimbang dalam kedua aspek.
"Namun bebanan kerja yang terlalu banyak menyebabkan emosi menjadi tidak stabil selain sering marah-marah akibat terlalu penat dan tertekan," ulasnya.
Muhammad Fikri berkata, dia menjadikan amalan istighfar dan zikir sebagai usaha bagi meredakan kemarahan.
Sementara itu, seorang lagi pelajar universiti yang mahu dikenali sebagai Siti, 23, berkata, dia mudah stres apabila perlu membahagikan masa antara belajar dan bekerja.
"Disebabkan kos sara hidup dan harga barang naik, saya terpaksa buat kerja sambilan di restoran makanan segera," katanya.
Dia berkata, cara untuk hilangkan kemarahan adalah dengan mendiamkan diri selain cuba berkongsi masalah dengan keluarga dan kenalan rapat.
INFO
LIMA TANDA ANDA PANAS BARAN
1. Ego terlalu tinggi dan susah nak mengalah.
2. Cepat marah dan naik angin walaupun perkara remeh.
3. Suka maki hamun, mencarut dan tunjuk kekerasan secara fizikal.
4. Tak boleh nak dibawa bergurau, mesti sentap.
5. Panggil orang suka jerit-jerit dan dengan nada yang kuat.
PUNCA-PUNCA
Psikososial: seperti seseorang berada dalam keadaan tertekan akibat kos sara hidup, hutang dan hilang pekerjaan.
Penyakit: seperti menghidap tiroid yang menyebabkan seseorang berasa cepat marah.
Mental: masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau bipolar.
RAWATAN
Berfikir sebelum bercakap.
Belajar untuk luahkan perasaan marah dengan tenang.
Bersenam.
Dapatkan pertolongan profesional.
* Sumber: Mayo Clinic
Klik di sini untuk terus membaca