[KEMAS KINI] SELEPAS lapan bulan menerima mandat rakyat di Bachok, ahli Parlimennya, Mohd Syahir Che Sulaiman tidak menoleh ke belakang dan terus menggerakkan Agenda 5K (Kefahaman agama, Kecemerlangan akademik, Keusahawanan, Keberhasilan... Klik di sini untuk terus membaca

[KEMAS KINI] SELEPAS lapan bulan menerima mandat rakyat di Bachok, ahli Parlimennya, Mohd Syahir Che Sulaiman tidak menoleh ke belakang dan terus menggerakkan Agenda 5K (Kefahaman agama, Kecemerlangan akademik, Keusahawanan, Keberhasilan pertanian dan Keunikan pelancongan) untuk penduduk kawasan itu.

Wakil rakyat berusia 40 tahun itu juga membawa isu berkaitan hakisan pantai serta usahawan lembu sado di Parlimen dan kini kedua-duanya dalam perhatian kementerian berkaitan. Perjuangan beliau juga fokus kepada peningkatan cendekiawan Islam khususnya di Bachok dan Kelantan amnya.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, ASWANY OMAR bersama Mohd Syahir yang merupakan Setiausaha politik kepada Presiden Pas.

SINAR HARIAN: Sejak mendapat kepercayaan menjadi wakil rakyat di Bachok, bagaimana YB melihat sokongan penduduk terhadap Pas?

MOHD SYAHIR: Alhamdulillah, saya sangat menghargai sambutan rakyat. Mereka mengikuti perbahasan saya di Parlimen mengenai isu di Bachok khususnya petani, nelayan, peniaga di pasar, masalah jalan dan hakisan.

Saya juga membawa isu nasional seperti ekonomi dan secara umumnya, saya dapat lihat penerimaan sangat baik. Kami bertemu setiap hujung minggu di masjid, pantai, pasar dan pada bulan Ramadan lalu saya tidak menang tangan menghadiri banyak majlis berbuka puasa.

Sokongan kepada Pas peringkat nasional dan negeri khususnya Bachok tidak berkurangan terutama pada Pilihan Raya Negeri (PRN), malah akan ada pertambahan daripada undi protes dalam kalangan akar umbi UMNO yang tidak bersetuju kerjasama dengan DAP.

Mungkin juga akan ada segelintir pengundi Cina yang tidak bersetuju dengan kerjasama pemimpin UMNO dan secara umumnya 'mood' serta gelombang rakyat terhadap Pas khususnya anak muda masih lagi tinggi.

Di Bachok, terdapat kira-kira lima peratus masyarakat Siam dan Cina iaitu paling ramai di Kampung Balai dan Jelawat. Kami ada penghulu kaum yang dilantik dan menerima keistimewaan sama seperti penduduk lain.

SH: Hasrat YB ialah menggerakkan Agenda 5K untuk warga Bachok. Apakah pencapaian yang boleh dilihat dalam semua konteks itu ketika ini?

Saya tidak gemar berjanji. Agenda 5K itu ialah fokus hasil daripada pertemuan bersama rakyat dan golongan muda yang kita simpulkan sebagai 5K. Jadi itulah yang kita usahakan dan gerakkan bersama di peringkat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penghulu dan jabatan.

Alhamdulillah melalui pendidikan, kita dapat lihat pencapaian akademik terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini yang sangat cemerlang. Kita turut membina jaringan kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk melaksanakan aktiviti termasuk sumbangan kepada warga sekolah.

Kita tidak mahu anak-anak di Bachok tercicir dalam pelajaran. Kami bergerak menggunakan duit sendiri.

Walaupun tiada peruntukan tetapi kita berusaha mencari dana ada ada menggunakan peruntukan sendiri atau memohon sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat atau badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam bidang keusahawanan dan pertanian pula, kita dapat lihat di Bachok kini popular dengan penternakan lembu sado.

SH: Dahulu Bachok terkenal dengan pelancongan kerana jajaran pantainya. Apakah usaha pihak YB untuk mengembalikan populariti kawasan tumpuan pelancong itu?

Berkaitan pantai yang terkenal di Bachok, saya sebut dalam pertemuan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Kementerian Pembangunan dan Menteri Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai kepentingan fasiliti di Pantai Senok yang lebih dikenali dengan nama Pantai Nami, Pantai Melawi dan Pantai Irama.

Alhamdulillah, kerajaan negeri dan Persekutuan memberi peruntukan dan sudah banyak penambahbaikan fasiliti. Terbaru adalah Program Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan pada 14 Jun hingga 18 Jun.

Kerajaan Persekutuan ada menyebut dalam Parlimen mengenai peruntukan yang disediakan berkaitan hakisan pantai dan pembinaan jeti.

Minggu lepas, kerja-kerja membaik pulih hakisan di Pantai Damat dan ada beberapa lagi permohonan yang saya sudah bangkitkan termasuk jeti nelayan, penternak lembu sado yang mendapat perhatian kementerian.

Kementerian pada sidang Palimen, baru-baru ini memberi jawapan bahawa bagi perancangan jangka masa pendek, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan turut melaksanakan kerja-kerja di Pantai Kemayang dengan membina struktur lapis lindung batu sepanjang 150 meter dengan kos bernilai RM500,000 menggunakan peruntukan negeri.

SH: Sebagai sebuah negeri pembangkang, adakah YB rasa ada peluang untuk mendapatkan dana bagi meningkatkan ekonomi negeri Kelantan amnya dan untuk Bachok khasnya?

Memang saya mengharapkan layanan yang adil dan saksama serta budaya politik yang lebih matang dan bukan politik balas dendam kerana ini merupakan prinsip federalisme yang sepatutnya diamalkan oleh kerajaan pada hari ini.

Kita mengharapkan komitmen daripada kerajaan Persekutuan. Kami sangat terbuka kerana paling penting projek pembangunan dapat disalurkan kepada rakyat kerana kadar kemiskinan masih lagi tinggi dan Bachok juga ramai yang miskin, orang kurang upaya, terlantar dan ibu tunggal.

Saya rasa sebarang layanan double standard tidak wajar kerana yang penting bukan politik.

Politik kita tunggu PRN tapi paling penting ialah pembangunan dan sosio ekonomi rakyat secara adil dan saksama.

Berkaitan isu air, kita mengharapkan komitmen di peringkat Kerajaan Persekutuan. Saya rasa kedua-dua pihak sudah jelas keperluannya dan keupayaan peruntukan.

Jika negeri lain ada suntikan modal yang sewajarnya, maka Kelantan pun perlu perkara sama.

Jika tidak selesai semuanya kita harap separuh daripada masalah itu dapat diatasi.

SH: Dalam konteks pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), berapa peratus dalam golongan ini yang sudah berjaya mengubah taraf hidup atau membesarkan perniagaan?

Untuk pembangunan IKS, secara azalinya penduduk Kelantan suka berniaga khususnya wanita dan perkara ini memberi peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi di kampung.

Bagaimanapun, mereka perlu bimbingan dan bantuan berterusan daripada kerajaan. Menariknya di Bachok, kita ada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang bekerjasama dengan usahawan untuk melaksanakan program pembangunan perniagaan.

Saya mengambil sikap yang sangat terbuka dengan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama membangunkan perniagaan. Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Di Bachok juga ada pusat pembangunan wanita yang menyediakan kursus menjahit, memasak dan kraf untuk melatih wanita dan ibu tunggal supaya mereka boleh berniaga dan berdikari.

SH: Berkaitan impian YB untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan dalam bidang keagamaan, apakah usaha YB untuk ke arah itu?

Saya sangat menggalakkan ibu bapa memberi asas ilmu agama yang sangat kuat. Jika ada anak-anak yang lebih cemerlang, dorong mereka untuk mendalami ilmu agama di usia muda sebelum melibatkan mereka di sekolah menengah.

Anak-anak ini kemudian boleh memilih apa sahaja bidang profesional kerana yang penting mereka ada kekuatan ilmu agama dan lebih baik lagi boleh menghafaz al-Quran.

PROFIL

Mohd Syahir Che Sulaiman

Asal: Kampung Pantai Melawi, Bachok

Kelulusan: Sarjana Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya

Jawatan:

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Penolong Setiausaha Agung Pas.

Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas.

Pengarah Strategi Dewan Pemuda Pas.

Klik di sini untuk terus membaca