BEKAS Perdana Menteri Itali sarat kontroversi, Silvio Berlusconi yang membentuk semula landskap politik dan budaya Itali meninggal dunia pada usia 86 tahun. Pemergian beliau diumumkan jurucakapnya pada Isnin lalu setelah bilionair itu... Klik di sini untuk terus membaca

BEKAS Perdana Menteri Itali sarat kontroversi, Silvio Berlusconi yang membentuk semula landskap politik dan budaya Itali meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Pemergian beliau diumumkan jurucakapnya pada Isnin lalu setelah bilionair itu dimasukkan ke hospital di Milan pada Jumaat untuk menjalani ujian berkaitan penyakit leukemia.

Sepanjang hidupnya, Berlusconi membina pengaruh menerusi kepentingan di stesen televisyen dan akhbar miliknya serta memiliki kelab bola sepak AC Milan sehingga mendapat jolokan orang terkaya di Itali selama sedekad.

Sebelum bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump popular dalam rancangan realiti televisyen dan perlumbaan ke Rumah Putih, Berlusconi dikatakan berjaya memikat jutaan rakyat Itali dengan mempamerkan beliau menjadi diri sendiri menerusi hebahan empayar medianya.

Bagi pengkritik, Berlusconi adalah seorang kasanova yang mengelak membayar cukai selain mempergunakan empayar medianya bagi meneruskan kerjaya politik dan mengeksploitasi kuasa demi melindungi kepentingan perniagaannya.

BERDEPAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Berlusconi menghabiskan sebahagian besar hidupnya dengan tindakan undang-undang dan kes pesta seks digelar 'Bunga Bunga' yang dihadiri gadis bawah umur.

Berlusconi (kiri) menyampaikan piala Liga Juara-Juara kepada pemain AC Milan, Filippo Inzaghi.

Kes itu berjaya diselesaikan pada Februari 2023.

Walaupun kekal sebagai presiden dalam Parti Forza Italia, beliau dikatakan jarang muncul di khalayak umum sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana mengalami masalah kesihatan yang semakin kronik.

Bagaimanapun, beliau masih mengekalkan personalitinya dengan memakai pakaian kemas, rambut hitam sentiasa disikat ke belakang dan sering melakukan pembedahan plastik pada wajahnya.

Namun, pada 20 September 2020 selepas dijangkiti virus Covid-19, beliau dimasukkan ke hospital selama 11 hari dan menyifatkan ia sebagai ujian paling sukar dalam hidupnya.

Pada April, doktor mendedahkan beliau menghidap penyakit leukemia selepas dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru.

Tetapi, tiga minggu kemudian beliau dimasukkan sekali lagi atas nasihat doktor untuk melakukan pemeriksaan berjadual dan kemudian disahkan meninggal dunia.

KERJAYA POLITIK

Berlusconi yang dilahirkan di Milan telah menceburi arena politik pada awal tahun 1990-an selepas terjun dalam industri media dan hartanah.

Kemudian beliau memperkenalkan diri sebagai individu moden Itali dengan disokong stesen televisyen dan akhbarnya sehingga berjaya memenangi pilihan raya pertama pada tahun 1994 dengan partinya Forza Italia.

Beliau bertahan sebagai perdana menteri selama sembilan bulan saja, tetapi kembali berkuasa apabila merakam satu lagi kemenangan pilihan raya pada 2001 selepas kempen populis yang menjanjikan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Presiden Rusia, Vladimir Putin (kanan) dan Berlusconi ketika melawat pusat penggalian arkeologi di Chersonesus di luar Sevastopol, Ukraine. - AFP
Presiden Rusia, Vladimir Putin (kanan) dan Berlusconi ketika melawat pusat penggalian arkeologi di Chersonesus di luar Sevastopol, Ukraine. - AFP

Kemudian, Berlusconi berkhidmat sehingga 2006 dan kembali semula sebagai perdana menteri antara 2008 dan 2011, sekali gus menjadikannya perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah pasca perang Itali.

Bagaimanapun, pemimpin Parti Forza Italia itu terpaksa meletakkan jawatan selepas Itali bergelumang dengan hutang yang tinggi.

BINA PENGARUH LUAR

Di pentas dunia, Berlusconi menjadi terkenal selepas menjalin hubungan persahabatan dengan pemimpin luar seperti Presiden Libya, Muammar Gaddafi dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Malah baru-baru ini, beliau pernah dikecam kerana menyokong pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca