BERDASARKAN data OECD, United Kingdom (UK) dikatakan negara keempat paling ‘berat’ di benua Eropah. Statistik obesiti UK 2021 pula menunjukkan 64 peratus penduduk dewasa berusia 16 tahun ke atas mempunyai BMI lebih 25. Manakala 26 daripada 100 orang dewasa ini jatuh dalam kategori orang gemuk atau obese dengan BMI melebihi 35.
Tahun 1993 hingga 2001 menjadi tempoh yang begitu menakutkan bagi mereka apabila jumlah penduduk dewasa yang berlebihan berat naik hampir dua kali ganda. Kerana itu, kerajaan UK giat melabur dalam aktiviti penyelidikan untuk mengenal pasti punca, kesan dan intervensi atau rawatan untuk menangani obesiti.
Selain maklumat nutrisi pada pembungkus makanan, pemilik restoran dan kafe diwajibkan mempamerkan jumlah kalori setiap makanan. Peniaga pasar raya atau runcit digalakkan memberi diskaun kepada harga makanan yang tinggi nutrisi. Ini bagi membantu rakyatnya memilih makanan lebih sihat.
National Health Service (NHS) yang mengemudi sistem kesihatan UK diberi mandat menerajui pelbagai inisiatif untuk membantu golongan ini. Pada tahun 2020 misalnya, £100 juta diperuntukkan melatih healthy weight coaches dari kalangan pekerja NHS. Dengan itu, penduduk UK yang layak boleh mendapatkan perkhidmatan coach di hospital atau pusat kesihatan secara percuma.
Dalam tempoh pandemik, peratusan kanak-kanak dengan berat badan berlebihan mencanak naik. Seorang daripada tiga kanak-kanak berusia 10 hingga 11 tahun di UK terlebih berat badan. Kajian oleh Cancer Research UK mendapati, iklan makanan lalu lalang di depan mata, termasuklah yang boleh menggemukkan amat mempengaruhi pilihan makanan di kalangan kanak-kanak. Kerana itu, kerajaan mula melarang iklan makanan tinggi lemak, garam dan gula di TV dan siaran online sebelum jam 9.00 malam.
Usaha kerajaan UK sejak dua dekad lalu nampaknya berhasil. Peratusan penduduk dengan berat badan berlebihan dapat dikekang daripada terus naik. Namun, nampaknya itu belum cukup bagi mereka. Setiap tahun, kerajaan UK masih membelanjakan sekitar GBP6 bilion untuk merawat pelbagai penyakit yang berpunca dari masalah berat badan berlebihan.
Dengan krisis sistem kesihatan UK kini, isu kegemukan menjadi ancaman serius. Kerana itu, Perdana Menterinya, Rishi Sunak pada 6 Jun lalu telah mengumumkan peruntukan GBP40 bilion bagi program perintis menangani obesiti di seluruh UK.
Dalam tempoh dua tahun program, 35,000 sukarelawan akan menerima suntikan dadah Semaglitude atau Wegovy setiap minggu dari pihak hospital. Sukarelawan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai BMI 35 ke atas dan menghidap kencing manis atau darah tinggi.
Sebenarnya, pengambilan dadah untuk mengurangkan berat badan ini bukanlah perkara baharu. Selain Wegovy, terdapat juga dadah lain seperti Xenical, Qsymia dan Contrave telah diluluskan oleh FDA.
Namun National Institute for Health and Care Excellence UK mencadangkan Wegovy keluaran Novo Nordisk dari Denmark kerana memberi kesan terpantas. Dengan kombinasi diet dan senaman, Wegovy boleh menurunkan sekurang-kurangnya 15 peratus berat badan dalam tempoh setahun pengambilannya. Jika berjaya, program suntikan Wegovy oleh kerajaan UK sememangnya bakal menjadi game changer seperti kata Rishi Sunak.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menyebut kegemukan sebagai pandemik global. Data terkini WHO mendapati empat daripada 10 orang dewasa di dunia punyai berat badan berlebihan. Lebih menakutkan, sekitar 2.8 juta kematian setiap tahun diakibatkan penyakit berkaitan kegemukan.
Di Malaysia, pada tahun 2019, dua daripada 10 orang dewasa masuk dalam kategori orang gemuk. Jumlah ini tidaklah setinggi UK dan hanya separuh daripada purata dunia. Namun data menunjukkan peningkatan dan inilah yang dibimbangkan.
Pendekatan UK melawan kegemukan di skala nasional sememangnya luar biasa. Jarang kita lihat negara lain begitu bersungguh seperti mereka. Mungkin kita sendiri tidak mampu pergi sejauh memberi Wegovy kepada golongan ini, tapi sekurang-kurangnya, kita boleh mencontohi ketekunan kerajaan UK menyediakan sebuah sistem yang kondusif untuk membantu rakyatnya keluar dari masalah 'berat' ini.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca