SHAH ALAM - Sumber pertumbuhan baharu yang menjadi antara topik penting perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa ahli ekonomi menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu ekonomi yang membelenggu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sumber pertumbuhan baharu yang menjadi antara topik penting perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa ahli ekonomi menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu ekonomi yang membelenggu negara.

Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, sumber itu boleh membantu Malaysia menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi iaitu daya saing ekonomi dan firma negara.

"Apabila menyentuh tentangnya, ia secara tidak langsung terkait dengan kualiti pekerjaan yang terjana, tahap gaji ditawarkan, ketidakseimbangan pendapatan dan tumpuan kekayaan pada kelompok yang kecil.

"Perdana Menteri juga akui yang kita punya masa yang sangat suntuk untuk lakukan ini. Bagi melakukan pembaharuan dan reformasi ini, kita perlukan disiplin dan kesabaran.

"Kita juga perlukan keberanian untuk melakukan perkara baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat.

"Pada penghujung perbincangan, Anwar ada menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi bukanlah berkisar tentang angka semata-mata tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada Jumaat, Anwar telah mengadakan perbincangan berkait hala tuju ekonomi negara yang turut disertai Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan beberapa ahli ekonomi.

Selain Nungsari, ahli ekonomi yang hadir ialah Pengerusi bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER); Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

Klik di sini untuk terus membaca