MALAYSIA perlu bersedia terhadap sebarang kemungkinan termasuk berlakunya krisis makanan disebabkan oleh perubahan cuaca dan iklim.
Dijangkakan juga oleh para saintis bahawa El Nino berpotensi meletakkan tahun 2024 sebagai tahun paling panas di dunia.
Impaknya turut terasa di pelbagai negara termasuk di China yang telah menyebabkan pengeluaran pertanian dan makanan di negara itu terjejas.
Perkara sama juga berpotensi berlaku di Malaysia. Namun, kita perlu mengambil langkah awal dan segera untuk memastikan bekalan makanan mencukupi untuk menampung keperluan rakyat dan seterusnya boleh dieksport bagi menjana pendapatan lumayan.
Sementara, umat Islam di seluruh dunia akan melaksanakan ibadah korban tidak beberapa lama lagi. Dalam masa sama ibadah aqiqah juga dilaksanakan secara berterusan dengan mengambil kira permintaan daripada kalangan umat Islam di seluruh dunia.
Maka dua ibadah ini merupakan ibadah yang sebenarnya bukan sahaja terhad dalam kerangka melaksanakannya sebagaimana yang telah disyariatkan dalam Islam, bahkan ianya juga merupakan cabang penting dalam mempelbagaikan kegiatan ekonomi ummah.
Malaysia sebenarnya berpotensi untuk menjuarai industri bekalan daging halal dunia. Kita mempunyai kemampuan mengeluarkan dan berdagang dengan produk daging untuk keperluan domestik dan dieksport ke luar negara.
Sebagai contoh, sangat menarik melihat kerjasama terjalin antara entiti yang terlibat di dalam industri korban dan aqiqah dengan kumpulan perbankan terbesar di Malaysia dalam penawaran perkhidmatan korban tanpa sempadan.
Pada peringkat awal mungkin tidak seberapa, jika diambil perkiraan hanya 20-21 juta penduduk Muslim Malaysia yang terlibat. Tetapi, potensinya akan berbeza sekiranya perkhidmatan ini menyasarkan Muslim seluruh dunia yang berjumlah melebihi 2 bilion.
Dalam suasana kini, keperluan pasaran di dunia khususnya melibatkan permintaan makanan berasaskan daging juga turut meningkat. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS), bekalan daging lembu bagi tahun 2023 dijangka menurun dengan ketara sehingga menyebabkan peningkatan harga.
Berdasarkan laporan, secara purata, rakyat AS diunjurkan memakan 5.6 peratus kurang daging lembu tahun ini disebabkan oleh kekurangan bekalan daging lembu. Ini bermakna, permintaan pasaran daging lembu jauh lebih tinggi daripada pengeluaran yang menyebabkan berlakunya kenaikan harga.
Disebabkan permintaan tinggi ini maka kita perlu menggunakan sebaiknya tanah kosong di dalam negara bagi tujuan pertanian dan penternakan.
Terdapat keperluan untuk turut melibatkan lebih ramai orang muda dalam bidang pertanian dan pemakanan terutamanya dalam memperkasakan Program Agropreneur Muda.
Terbaharu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad, telah menekankan berkenaan perkara ini di Parlimen dengan meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan secara terperinci bagi setiap tahun 2018 sehingga 2022 berkenaan program itu, berapa bilangan belia yang menerima manfaat dan nilai kelulusan.
Maka dapatan statistik oleh kementerian menunjukkan bilangan belia yang telah diluluskan untuk menerima geran bagi tahun 2018 hingga 2022 adalah seramai 4,179 orang dengan nilai geran sebanyak RM76,754,955.20.
Antara cadangan tambahan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan pusat atau kerajaan negeri adalah dengan menyewakan tanah milik kerajaan yang bersesuaian secara percuma selama dua tahun kepada anak muda atau mereka yang berminat dengan aktiviti penternakan dan boleh diperbaharui tempoh penyewaan untuk mengusahakan pelbagai ternakan antaranya lembu, kambing dan sebagainya bagi menampung keperluan makanan rakyat sekiranya berlaku krisis luar biasa.
Selain itu, inisiatif ini juga akan dapat membantu meningkatkan pendapatan rakyat kita apabila daging ternakan tersebut dieksport ke luar negara dalam keadaan begitu banyak negara yang terkesan dengan krisis bekalan makanan.
Sekiranya negara sekecil Belanda mampu menjadi pengeksport daging terbesar di Eropah dengan menghasilkan empat juta lembu dan 104 juta ayam setiap tahun, mengapa tidak Malaysia yang saiznya lebih kurang lapan kali ganda lebih besar saiz daripada Belanda.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca