SHAH ALAM - Pembayaran elaun latihan industri kepada mahasiswa perlu disemak semula dan diselaraskan mengikut kesesuaian. Ketua Program Komunikasi Media Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hasrul Hashim berkata, surat edaran Jabatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pembayaran elaun latihan industri kepada mahasiswa perlu disemak semula dan diselaraskan mengikut kesesuaian.

Ketua Program Komunikasi Media Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Hasrul Hashim berkata, surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 6 September 2019 menjelaskan mahasiswa yang menjalankan latihan industri sepatutnya dibayar RM5 untuk setiap satu jam.

"Jadi, dalam erti kata lain penindasan berlaku apabila sebuah syarikat tidak membayar atau jumlah elaun yang rendah kepada mahasiswa,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, pihak universiti perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu mahasiswa yang didakwa tidak mempunyai kemahiran.

"Di UKM, pelajar tidak dibenarkan menghantar e-mel secara sendiri bagi urusan penempatan kerana mereka hanya perlu menghantar senarai nama syarikat-syarikat yang bersesuaian dengan bidang dipelajari dan akan diuruskan oleh pihak universiti.

"Sebagai persediaan awal, bengkel pra latihan industri juga diadakan bagi membantu mahasiswa mengetahui secara jelas berkaitan etika di tempat kerja, pemakaian dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Aiman Arifin berkata, isu berkaitan elaun latihan industri bukanlah perkara baharu namun ia masih belum menemui penyelesaian.

Menurutnya, majikan perlu menyediakan elaun sewajarnya atau memperkasakan inisiatif dalaman yang merangkumi aspek makanan dan pengangkutan.

"Sebagai contoh majikan boleh menyediakan kupon makanan dua kali sehari serta memberi elaun pengangkutan kerana sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan kos perbelanjaan harian mereka," ujar beliau.

Tambahnya lagi, pihak kerajaan perlu membuat keputusan untuk menyelaraskan jumlah sebenar pembayaran elaun kerana terdapat perbezaan syarikat di bawah kerajaan dan swasta.

"Syarikat kerajaan kebiasaannya tidak bayar elaun atau beri dalam jumlah yang sedikit sahaja, berbeza dengan syarikat swasta antara RM500 hingga RM1,500 sebulan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca