PENGLIBATAN bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam perbincangan ekonomi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahli ekonomi lain telah meninggalkan 1,001 persoalan. Biarpun perbincangan itu dikatakan... Klik di sini untuk terus membaca

PENGLIBATAN bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam perbincangan ekonomi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli-ahli ekonomi lain telah meninggalkan 1,001 persoalan.

Biarpun perbincangan itu dikatakan untuk mendapatkan pandangan serta idea mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat, kehadiran Khairy dan Anwar di bawah satu bumbung telah mencuri tumpuan rakyat.

Difahamkan, kehadiran Khairy dalam pertemuan itu adalah atas jemputan Anwar yang menunjukkan keterbukaan beliau untuk mendengar pandangan daripada pelbagai pihak dalam menentukan hala tuju ekonomi negara termasuk daripada pengkritiknya.

Tidak mustahil, perbincangan pada Jumaat lepas mewujudkan bayangan kerjasama dan sokongan Khairy terhadap Pengerusi Pakatan Harapan serta Kerajaan Perpaduan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, Khairy tidak janggal dalam konteks ekonomi kerana latar belakang serta pencapaiannya dalam kabinet sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Ia menggambarkan bahawa walaupun Khairy dipecat daripada UMNO, itu melibatkan hubungan beliau dengan parti atau presiden. Namun dalam konteks untuk menyelesaikan isu kemelesetan ekonomi negara, perkara ini melepasi sempadan kepartian atau pegangan politik.

"Faktor pertelingkahan politik dan ketidakselesaan Anwar dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akibat daripada pemilihan parti juga sedikit sebanyak mempengaruhi corak kerja Perdana Menteri dalam memilih siapa yang mampu menangani isu ekonomi politik negara dalam sebuah jawatankuasa,” katanya kepada Sinar Premium.

Menurutnya, Khairy menunjukkan pencapaian yang baik ketika beliau mentadbir kerajaan semasa pandemik Covid-19 yang mempengaruhi Anwar untuk membawanya bersama-sama dalam pertemuan berkenaan.

"Kita boleh menilai daripada pengalaman Khairy menguruskan Covid-19 dan vaksin yang melibatkan dana negara. Walaupun ada kelemahan dalam proses pengurusan tersebut, beliau telah melakukan tugasan dengan baik.

"Bagi saya, dalam situasi kecemasan seperti kejatuhan ringgit dan hutang negara yang mencecah hampir RM1.5 trilion, tindakan yang dilakukan oleh Anwar ini relevan,” jelasnya.

Biarpun Khairy tidak menjadi penasihat ekonomi negara, Mohammad Tawfik berkata, tindakan Anwar membawa beliau mengadakan perbincangan ekonomi itu akan melemahkan bisikan-bisikan politik bahawa Perdana Menteri seorang yang keras atau tidak mengambil pandangan luar daripada PH.

"Kesannya dari segi politik, perkara ini mungkin akan menggores hati Presiden UMNO. Pendekatan Anwar untuk mendekati musuh politik seperti mengemukakan dana tambahan di Kelantan dan kemunculan Khairy dalam jawatankuasa ekonomi adalah untuk meredakan suhu politik negara.

"Tindakan Anwar yang mengangkat suara-suara berlawanan arus dengannya suatu ketika dulu untuk bersama memberi pandangan dalam kerajaan hari ini akan memberi impak positif kepada negara.

"Ini kerana isu ekonomi memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia. Perihal ekonomi perlu adil, positif dan melihat secara menyeluruh, bukan memilih kasih kerana ini melibatkan 'perut' rakyat,” ujar beliau.

Berkisar tentang perjalanan politik menantu kepada bekas Perdana Menteri kelima negara, Tun Abdullah Ahmad Badawi, umum mengetahui Khairy merupakan ‘hot item’ yang menjadi rebutan pelbagai parti selepas beliau dipecat daripada UMNO pada 27 Januari lalu.

Khairy berkongsi gambar pertemuannya bersama Muhyiddin.

Malah sebelum tularnya penyertaan Khairy dalam mesyuarat bersama Anwar, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu menawarkan bekas Ahli Parlimen Rembau itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sejak lima bulan lalu.

Pada Isnin pula, selepas mencipta persoalan adakah Khairy bakal menyertai kem Anwar, bekas Menteri Kesihatan itu berkongsi gambarnya bersama Muhyiddin sekali gus menimbulkan satu lagi tanda tanya berhubung perjalanan politiknya pada hari ini.

Kekuatan

Bagi Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi, perjumpaan Khairy bersama Anwar mahupun Muhyiddin belum kukuh untuk menunjukkan beliau akan menyertai mana-mana pakatan politik.

"Sebaliknya dengan pendekatan baharu yang diambil oleh Khairy, membolehkan beliau menilai reaksi dan respon balas daripada media massa dalam menentukan posisi politiknya sama ada untuk kekal neutral atau berpihak semula kepada UMNO.

"Khairy juga mengetahui kekuatan sokongan politik tidak hanya cukup dengan bergantung kepada segmen pengundi khusus sahaja kerana sikap pengundi yang semakin dinamik dan tidak terikat dengan kesetiaan kepada satu parti,” katanya.

Justeru, Khairy cuba mempamerkan pembawaan politik baharu merentasi sempadan kepartian untuk mempamerkan imej dirinya sebagai aset yang relevan untuk semua parti politik.

"Beliau akan membincangkan perkara yang berasaskan polisi dan dasar untuk dijadikan platform yang menunjukkan keterbukaannya berkongsi idea-idea kepada mana-mana pemimpin parti yang mengiktiraf pandangannya.

"Pengaruh yang dimilikinya hari ini berupaya untuk mengolah pendapat awam serta memberi validasi kepada pihak yang beliau sokong.

"Maka, capaian media sosialnya tidak boleh dipandang ringan kerana ia sedikit sebanyak menjadi ejen pendesak untuk mempengaruhi perjalanan politik dan ekonomi negara,” jelasnya.

Selain itu, Anis Anwar melihat Khairy berada di fasa penilaian sebelum membuat keputusan dalam mengemudi hala tuju politik beliau.

"Khairy masih memiliki tempoh masa yang panjang untuk mendaki dunia politik. Pengalaman politik lepas banyak mengajar beliau untuk tidak membuat keputusan secara terburu-buru.

"Bahkan dengan terus muncul di dalam wacana politik untuk pembinaan karakter yang lebih tinggi di samping menyaksikan sentimen rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan menerusi Pilihan Raya Negeri, ia akan membantu Khairy kekal relevan dan menyusun atur langkah politik yang lebih jauh selepas ini,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca