SHAH ALAM - Golongan majikan khususnya syarikat besar diingatkan agar tidak menjadikan isu pemberian elaun kepada mahasiswa yang menjalani latihan industri atau ‘intern’ sebagai satu masalah besar.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pemberian itu adalah bersesuaian dengan kos yang terpaksa mereka tanggung merangkumi pengangkutan, penginapan dan makan minum.
Malah, beliau turut mencadangkan pemberian elaun bersesuaian iaitu antara RM1,000 ke RM1,500 kepada pelatih sebagai tanda penghargaan dan perangsang untuk mereka bekerja.
"Kebiasaannya syarikat ada dana CSR (tanggungjawab sosial korporat), kenapa duit itu tidak digunakan untuk ‘melabur’ kepada mereka, bukannya liabiliti. Ia akan jadi satu lonjakan dan graduan juga akan rasa dihargai, secara tidak langsung produktiviti akan meningkat.
"Jangan kita remehkan graduan ini, kalau kita tak bimbing mereka, siapa lagi? Kita kena anggap mereka sebahagian daripada jajaran," ujarnya.
Jelas Mohamed Shafie, bayaran RM1,000 ke RM1,500 adalah bayaran ideal kepada mahasiswa yang menjalani latihan industri, mengambil kira kos pengangkutan, penginapan, makan dan minum.
"Pemberian elaun juga hanya untuk jangka masa pendek, jadi syarikat perlu merangka pelan tindakan untuk masa akan datang iaitu pelatih ini mesti ada tanggungjawab, skop kerja dan imbuhan untuk dibayar.
"Kalau bagi RM1,500 pun, syarikat tak akan bankrap. Mereka juga bekerja sehingga lapan jam sehari untuk bantu. Kalau tak ada peruntukan, kena usaha untuk beri dan jangan menidakkan hak mereka,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca