ORANG yang pemarah biasanya mati awal. Itulah sekurang-kurangnya yang ditunjukkan dalam satu kajian oleh sekumpulan penyelidik daripada Iowa University di Amerika pada tahun 2015.
Sepertinya ini bukanlah pertama dan telah ada puluhan, atau mungkin ratusan kajian menunjukkan orang yang pemarah biasanya berakhir hidupnya dengan banyak musibah.
Profesor Charles Spielberger di University of South Florida ialah antara sarjana besar dalam bidang psikologi yang menghabiskan hidupnya dengan mengkaji marah.
Baginya marah ini boleh dibahagikan dengan banyak jenis, antaranya ialah anger-in dan anger-out.
Dalam kata lain, ada orang yang marah tetapi dipendam sahaja. Ada pula yang marah tetapi tidak disimpan.Mereka boleh jadi menengking orang lain, memukul malah ada yang membunuh juga.
Dengan kata lain, kita semua pernah marah dan sesekali perlu marah. Kita bukan robot. Mustahil kita tidak marah jika diberitahu guru yang anak kita ponteng sekolah.
Walaupun marah itu merupakan sebahagian daripada diri kita, tetapi kita perlu mengawal perasaan. Sebaik mungkin kita kawal agar kemarahan yang dicetuskan oleh apa sahaja alasan tidak dilanjutkan dengan tindakan susulan. Apatah jika bertentangan dengan undang-undang.
Kini, bagi banyak warga kota, umumnya memulakan kehidupan dengan banyak sebab untuk marah. Hidup dalam keadaan kos hidup yang tinggi sudah membuat kita berasa ingin marah.
Sebaik sahaja memandu di jalan raya, kita akan dapat melihat pelbagai cara orang memandu yang menyebabkan kita marah. Ada yang memotong tanpa memberi lampu, ada pula yang menghimpit kereta kita seolah-olah jalan raya milik mereka seorang.
Itu belum termasuk apabila pintu palang tol tak mahu terbuka walaupun kita telah berpenat mencari wang untuk menambah baki sehari sebelumnya.
Jadi, jika diikutkan hati, kita boleh marah sepanjang hari di jalan raya. Tetapi, akhirnya apa kesudahannya?
Banyak kajian menunjukkan orang yang marah di jalan raya biasanya memandu lebih laju, lebih mudah terlibat kemalangan dan suka membuli pemandu lain.
Kelihatannya ia bukan cerita akademik semata-mata. Jika kita selalu membaca berita di Barat, kita dapati kemarahan di atas jalan raya adakalanya berakhir dengan tragedi.
Berita yang agak baharu, Jeremy Webster, seorang pemuda berusia 28 tahun telah menembak sebuah kereta yang kononnya telah memotongnya secara berbahaya.
Beliau mengekori kereta itu dan apabila berhenti di satu tempat, pemandu serta semua penumpang di dalam kenderaan tersebut telah ditembaknya.
Jeremy telah dihukum penjara seumur hayatnya. Jika dihukum mati, umurnya mungkin tak panjang.
Di negara kita, rakyat dilarang untuk memiliki senjata api. Tetapi itu pun kita selalu mendengar tentang kisah ‘amuk’ di jalan raya. Biasanya, si pembuli ialah lelaki, dan yang menjadi mangsa ialah wanita.
Termasuk berita terbaharu, seorang lelaki menyerang seorang pemandu wanita kerana kononnya cara pemanduan wanita tersebut sebagai membahayakan.
Benarlah, setiap orang ada alasan untuk marah. Tetapi, sebaiknya biarlah marah itu dipendam sahaja. Lebih baik, abaikan sahaja. Sebab umumnya, untuk marah pun sebenarnya manusia masih waras membuat keputusan.
Bayangkan jika mangsa yang dikatakan memandu secara tak berhati-hati itu seorang lelaki yang berbadan sasa, atau semua penumpangnya ialah lelaki berwatak ganas, agaknya apakah akan diserang juga pemandu tadi? Besar kemungkinan, tidak.
Jadi, dalam banyak kes serangan di jalan raya ini, biasanya pembuli juga berfikir sebelum mengambil tindakan tertentu. Ini menunjukkan manusia sebenarnya masih rasional sekalipun ketika marah.
Menurut Profesor Spielberger, sebenarnya orang boleh mengawal kemarahan. Jadi, jika sekalipun kita marah di jalan raya, bertenanglah.
Profesor Spielberger meninggal di usia 86 tahun pada tahun 2013. Sebagai seorang yang banyak mengkaji marah, beliau seorang yang tenang.Saya beruntung kerana pernah berkenalan dengannya sedikit waktu dahulu.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca