BEBERAPA dapatan menunjukkan tidak ramai alumni mendekatkan diri mereka dengan universiti selepas bergraduat.
Biasanya, hal ini disebabkan oleh dua faktor: komitmen kerja atau kehidupan peribadi yang membataskan hubungan, dan lokasi tempat tinggal atau tempat bekerja yang jauh dari universiti.
Akibatnya, rasa kecintaan yang berterusan kepada universiti semakin jauh dari jiwa alumni.
Namun begitu, tidak mustahil jika kerenggangan hubungan ini turut disebabkan kurangnya aktiviti atau peristiwa yang harmonis yang menggamit kenangan manis semasa belajar dahulu. Faktor inilah yang akan difokuskan oleh rencana ini.
Majalah Forbes pernah melaporkan bahawa salah satu daripada perkara yang membezakan universiti terkemuka dengan universiti lainnya adalah disebabkan wujudnya kumpulan ahli akademik yang tersohor kepakaran mereka dalam pengajaran dan penyelidikan.
Pensyarah berbakat dan penyelidik produktif, serta persekitaran yang kondusif menghasilkan pelajar yang berfikiran matang, konstruktif dan kritis. Sekaligus, membina graduan universiti yang kompetitif di pasaran kerja kelak.
Pendek kata, alumni yang mengecap kemajuan dalam kerjaya dan kehidupan inilah yang akan menyumbang kepada ketersohoran alma maternya.
Dengan kata lain, apa yang menyebabkan alumni ingat kepada universiti mereka adalah disebabkan ilmu dan pengalaman diperoleh daripada universiti itu sendiri yang telah meningkatkan nilai diri mereka sehingga membantu mendapatkan kerjaya baik atau berkecimpung sebagai usahawan berdaya tahan dan berjaya.
Justeru, amat penting buat sesebuah universiti itu agar sentiasa memastikan sistem pembelajaran dan prasarana kehidupan di dalam kampus khasnya sentiasa dijaga dengan baik.
Pastinya, para alumni ini tidak akan lupa kenangan mereka melayari kehidupan di kampus dan interaksi mencabar minda yang positif dalam bilik kuliah dan di lapangan.
Dengan sendirinya mereka akan terdorong untuk kembali ke universiti sebagai alumni yang akan menyumbang sama kepada pembangunan universiti mereka.
Isu air yang dihadapi oleh mahasiswa mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) umpamanya bakal menjadi salah satu kenangan yang sukar dilupakan setelah bergelar alumni kelak.
Hendaknya bukan pengalaman ketiadaan air secara kerap yang diingati oleh para pelajar kelak. Akan tetapi usaha dan semangat warga universiti dalam menangani isu air itu yang perlu difokuskan.
Isu yang dihadapi oleh semua warga Kota Kinabalu itu sentiasa menjadi keutamaan pihak pengurusan universiti dan kemuncak kepada keprihatinan yang tinggi itu telah mendapat perhatian Perdana Menteri sendiri dengan kelulusan dana RM3 juta bagi usaha segera menangani isu air dalam kampus UMS.
Sehingga rencana ini ditulis, penggerudian air bawah tanah dalam kampus UMS sudah pun terbukti berjaya yang bakal mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada bekalan air daripada Jabatan Air Sabah.
Ini adalah sebahagian pengalaman hidup para pelajar UMS dalam mendepani cabaran sewaktu bergelar mahasiswa mahasiswi lagi. Kenangan ini mahal harganya.
Keprihatinan dan usaha berterusan pihak pengurusan universiti dalam mengusai masalah air juga perlu diingati oleh mereka kelak.
Apabila hal ini difahami secara saksama, barulah wujud rasa cinta yang tak kunjung padam antara alumni dan alma maternya.
Ringkasnya, universiti perlu berusaha meningkatkan pembelajaran yang menambah nilai dan peka serta prihatin kepada usaha menyediakan persekitaran kampus yang kondusif.
Barulah alumni itu kelak akan sentiasa ingin kembali ke universiti dengan membawa sama kelebihan yang mereka ada untuk membangun bersama universiti yang mereka rindui.
Sesungguhnya, universiti dan alumni berpisah tiada.
* Dr. Jakaria Dasan ialah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah
Klik di sini untuk terus membaca