GENTING GAZA – Pada minggu lalu, sebanyak empat kumpulan bakal jemaah haji berangkat dari Genting Gaza ke Arab Saudi untuk mengerjakan Rukun Islam Kelima. Kira-kira 6,600 penduduk dari wilayah Gaza yang berada di bawah kepungan haram... Klik di sini untuk terus membaca

GENTING GAZA – Pada minggu lalu, sebanyak empat kumpulan bakal jemaah haji berangkat dari Genting Gaza ke Arab Saudi untuk mengerjakan Rukun Islam Kelima.

Kira-kira 6,600 penduduk dari wilayah Gaza yang berada di bawah kepungan haram Israel dan Tebing Barat menyahut seruan haji untuk musim kali ini.

Menurut Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, kumpulan terdiri daripada 2,900 orang bakal jemaah haji dari Gaza berlepas secara berperingkat selama empat hari.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama meraikan keberangkatan kumpulan bakal jemaah dari Genting Gaza.

Mereka yang berlepas dari Ramallah akan memasuki ke Riyadh melalui Jordan manakala kumpulan dari Gaza merentasi Mesir.

Perjalanan ke Tanah Suci dari Semenanjung Gaza bermula dari lintasan sempadan Rafah menuju ke Lapangan Terbang Kaherah dan mereka kemudiannya akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Raja Abdulaziz Saud di Jeddah sebelum meneruskan perjalanan ke kota Makkah.

Setiap tahun, penduduk Palestin berdepan halangan dan terpaksa menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji kerana sekatan dikenakan rejim Tel Aviv.

Bagi Fathia al-Hassanat, 58, dari Khan Yunis di selatan Gaza, doa wanita itu akhirnya dimakbulkan ALLAH SWT.

Fathia al-Hassanat memeluk erat anak perempuannya sebelum menaiki bas yang disediakan untuk menuju ke Kaherah.


Jelasnya, penduduk Palestin di Gaza terpaksa menghabiskan masa selama lebih 20 jam perjalanan dari Gaza ke Kaherah untuk sampai ke destinasi masing-masing.

"Bakal jemaah haji dalam kumpulan kedua mengambil masa selama 24 jam untuk tiba di lapangan terbang. Perjalanan dari Gaza seperti satu penyeksaan buat kami terutamanya kepada bakal jemaah haji yang kebanyakannya ialah warga emas dan menghidap penyakit kronik.

"Tetapi, ia tidak mematahkan semangat kami kerana dapat peluang menunaikan haji lebih berharga," ujarnya lagi.

Tuah 'sistem loteri'

Kisah Ahmed Abu al-Kass, 41, pula berbeza apabila namanya tersenarai selepas cuba mendaftar untuk mengerjakan haji kira-kira lima tahun lalu.

"Saya menangis kegembiraan setelah menerima panggilan telefon yang memaklumkan tentang perkara itu," katanya yang menghidap penyakit tulang kronik dan tidak pernah merentasi sempadan Rafah sebelum ini.

Bas membawa kumpulan bakal jemaah haji secara berperingkat pada minggu lalu.

Menurutnya, keadaan kesihatannya tidak akan menjadi penghalang memandangkan pihak berkuasa Mesir telah menyediakan kemudahan untuk keselesaan bakal jemaah.

Bapa kepada lima anak itu turut berkongsi tentang kos menunaikan haji yang agak tinggi dan membebankan penduduk Gaza yang berdepan keadaan ekonomi sukar akibat kepungan haram Israel sejak 2007.

"Saya mengumpulkan wang sendiri. Ia sememangnya bukan mudah kerana saya juga memikul tanggungjawab untuk menyara keluarga. Mereka sangat gembira dengan peluang yang diberikan kepada saya untuk menyahut panggilan Baitullah," tambahnya.

Sementara itu, Samah al-Shurafa, 48, juga hampir kecewa kerana namanya tidak tersenarai dalam 'sistem loteri' iaitu permohonan secara dalam talian yang diperkenalkan Saudi yang kemudiannya individu berkenaan akan dipilih berdasarkan cabutan elektronik.

"Saya didiagnos menghidap barah setahun yang lalu. Oleh itu, saya mendaftar di bawah senarai am dan pesakit. Alhamdulillah, nama saya akhirnya terpilih bersama anak lelaki saya yang berusia 30 tahun," katanya yang bersemangat mahu melakukan perjalanan yang agak jauh dari Gaza ke Kaherah.

Wanita itu memberitahu dia amat teruja dan berharap akan mendapat keberkatan ALLAH SWT serta mendapat haji mabrur.

Pada 2022, Riyadh membenarkan sehingga sejuta jemaah termasuk 850,000 warga asing menunaikan haji selepas dua tahun sekatan dilaksanakan akibat pandemik Covid-19. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca