SAYA minat berlakon. Maksud saya berlakon teater, drama dan filem. Bukan berlakon di pentas politik.
Yang itu saya tidak minat, dan sememangnya pun tidak berapa pandai.
Disebabkan tebalnya minat itu saya pernah juga bercita-cita menjadi pelakon.
Pernah jugalah terbayang menjadi hero kepada Noor Kumalasari, Susan Lancaster, Shasha ‘Adik Manja’ dan ramai lagi.
Saya lupa yang pada masa itu umur saya baru sekitar sembilan atau 10 tahun. Kalau berlakon pun paling lebih diberi watak adik atau anak pungut.
Macam orang lain, apa yang saya nampak, berlakon drama, filem dan sebagainya adalah sesuatu yang menyeronokkan.
Sekejap boleh berpasangan dengan orang itu, sekejap dengan orang ini. Pergi ke mana-mana orang kenal.
Glamor dan yang paling penting, kerja mudah, duit banyak.
Tetapi persepsi itu berubah apabila saya menjadi orang Kuala Lumpur dan mula berkawan dengan orang produksi filem dan drama.
Saya mula mengenal dunia yang mereka ceburi; semakin lama semakin banyak yang saya ketahui sehingga di suatu peringkat saya berbisik kepada diri sendiri, mujurlah saya tidak menjadi pelakon.
Rupa-rupanya berlakon bukanlah kerja mudah. Malah semua pekerjaan yang berkaitan dengan penerbitan drama dan filem jauh berbeza daripada apa yang disangka.
Hanya mereka yang betul-betul berminat, komited, tahan diuji dan berdisiplin, mampu bertahan.
Kalau terjun ke bidang itu semata-mata kerana hendak mencari glamor, atau sekadar hendak mengendeng dan menghimpit artis, jawabnya memang tidak akan sampai ke mana-mana.
Lambat laun hilang lenyap begitu sahaja. Yang asal jadi kru penerbitan, penyudahnya mungkin jadi macam orang tercabut ‘skru’, siang malam asyik bercerita tentang pengalamannya semasa bekerja dengan syarikat produksi walaupun jumlah hari bekerjanya mungkin tidak sampai 50.
Keadaan telah berubah. Daripada memang teruk kepada lebih teruk. Serius.
Selama hampir tiga dekad bercampur gaul dengan orang produksi, saya mendapati cabaran terhadap bidang pekerjaan mereka kini lebih hebat berbanding dahulu.
Kehadiran pelbagai elemen teknologi mungkin memudahkan tugas, tetapi ia tidak mengurangkan beban mereka.
Kenyataan ini menjadi berkali ganda lebih benar bagi pengeluar drama tempatan.
Persaingan yang semakin sengit, kos yang semakin tinggi, masa yang banyak dicuri oleh persekitaran, adalah antara beban yang terpaksa dipikul untuk ditukar dengan perolehan yang tidak seberapa.
Tidak lama dahulu pernah kecoh tentang kru produksi, termasuk pelakon terpaksa bekerja sehingga 20 jam sehari. Sampai sekarang pun masih ada yang begitu.
Jam 3 pagi, ketika anda sedang bermimpi atau mengigau, mereka masih bertungkus lumus di depan dan di belakang kamera. Esok pagi ketika anda belum bangun, mereka mungkin sudah berada semula di lokasi.
Kenapa sampai begitu? Ada banyak sebab. Ia mungkin disebabkan permintaan mengejut dan mendesak oleh stesen penyiar. Hendak ditolak, peluang. Kalau terlambat, mungkin disenaraihitamkan.
Pasaran di Malaysia bukannya besar. Hanya ada tiga tempat penerbit boleh mencari makan; stesen kerajaan, stesen swasta dan stesen on demand.
Jadi menjaga hati stesen kadangkala lebih penting daripada menjaga hati anak isteri.
Mengejar masa juga disebabkan oleh kawalan kos. Terlajak masa, terlajak hari, bermakna terlajak jugalah bajet.
Kalau bayarannya besar, lain cerita, tapi bukan lagi rahsia bahawa bayaran yang dibuat oleh stesen-stesen penyiar tempatan tidak banyak bezanya dengan harga 10 atau 15 tahun dahulu.
Satu episod drama masih dibayar sekitar RM45,000 hingga RM60,000. Lebih kurang sama dengan harga 15 tan kelapa sawit sahaja.
Kerajaan pada hemat saya, patut melihat isu ini dengan serius. Kasihanilah rakyat marhaen yang bergelut dalam cabang seni popular dengan hasil yang tidak seberapa itu.
Kita mengharapkan hasil yang terbaik daripada kreativiti mereka, tetapi dengan perut yang kempis dan masa yang mengikat, apa sangat yang mereka boleh lakukan.
Setidak-tidaknya gunakanlah kuasa yang ada untuk menetapkan had bayaran kepada mereka.
Selamatkan mereka daripada terus ditunggangi oleh sang pembuat untung.
Jangan lupa mereka pun ada jari, dan jari mereka boleh dicelup dakwat juga...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat
Klik di sini untuk terus membaca