SHAH ALAM - Biarlah pemimpin Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mahu bermimpi di siang hari untuk merampas kerajaan negeri Terengganu daripada Perikatan Nasional (PN)-Pas. Itulah respons Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarlah pemimpin Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mahu bermimpi di siang hari untuk merampas kerajaan negeri Terengganu daripada Perikatan Nasional (PN)-Pas.

Itulah respons Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris ketika mengulas kenyataan Pengerusi Gerakan Harapan Baharu Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad bahawa PH-BN mampu merampas pentadbiran negeri berkenaan pada PRN nanti.

Ketua Penerangan Bersatu itu menegaskan, PN tidak goyang dengan dakwaan Raja Kamarul kerana mereka kini menguasai 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malah katanya, gelombang kebangkitan rakyat menyokong PN juga dijangka berterusan selepas kejayaan menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Terengganu pada PRU15 termasuk Parlimen Besut dan Hulu Terengganu yang sebelum ini dikuasai BN.

Justeru katanya, kenyataan Raja Kamarul Bahrin mengenai gabungan PH-BN mempunyai peluang 50-50 dengan PN untuk menang di Terengganu ibarat ‘mimpi di siang hari’.

"Raja Kamarul Bahrin berkata demikian kerana beliau bercita-cita mahu menjadi menteri besar jika PH-BN berjaya rampas pentadbiran kerajaan Terengganu daripada PN pada PRN kali ini.

"Siang malam Raja Kamarul Bahrin bermimpi untuk terajui ‘Tranung’ (menjadi Menteri Besar Terengganu) tetapi itu sekadar angan-angan.

"Ini kerana beliau sendiri gagal melaksanakan tugas membawa pembangunan ke Terengganu semasa dilantik sebagai Timbalan Menteri, sebelum ini,” katanya kepada Sinar Premium.

Berikutan itu, Razali yakin rakyat Terengganu sukar untuk percaya dengan janji manis bakal ditaburkan oleh PH dalam kempen PRN nanti.

"BN-UMNO pula banyak meninggal kesan buruk kepada rakyat Terengganu sepanjang menjadi kerajaan dulu. Antaranya banyak projek gajah putih yang ditinggalkan BN termasuk projek mega Taman Ilmu di Tembila, Besut; Kawasan Bebas Cukai di Tasik Kenyir dan bas dua alam di Tasik Kenyir, sekali gus menyebabkan pembaziran dana rakyat bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Mazlan
Mazlan

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berpandangan, kenyataan Raja Kamarul Bahrin itu mempunyai logik tersendiri kerana BN lebih kuat berbanding Pas di peringkat akar umbi Terengganu.

Mazlan juga mendakwa, kejayaan Pas menawan kembali Terengganu pada PRU14 dan menang semua kerusi Parlimen pada PRU15 lalu kerana sokongan pengundi luar dan golongan atas pagar.

Sekiranya tiada gelombang pengundi luar atau mereka tidak pulang mengundi, maka peluang PH-BN menang di Terengganu menjadi lebih cerah.

Katanya, kemenangan Pas di Terengganu pada PRU 1999, PRU14 dan PRU15 adalah kerana wujud gelombang besar dalam kalangan anak muda dan pengundi luar serta atas pagar yang balik menyokong Pas.

"Bagaimanapun, sekarang ini ramai pengundi tidak berpuas hati dengan prestasi Pas memimpin kerajaan negeri kerana tidak banyak pencapaian dan projek pembangunan dibuat di Terengganu, sejak tahun 2018.

"Kalau separuh pengundi luar tidak pulang mengundi, gabungan PH-BN memang ada peluang 50-50 untuk menawan Terengganu.

"Jadi kalah atau menang PH-BN atau PN, bergantung kepada sejauh mana pengundi muda dan atas pagar kekal menyokong parti itu,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca