SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkemungkinan besar tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ia susulan tindakannya yang masih belum memberikan jawapan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau mana-mana parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan sesekali bersama UMNO.
Menurut sumber PN, dalam pertemuan antara Khairy dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, bekas Menteri Kesihatan itu juga dikatakan memaklumkan tidak menyokong gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
"KJ (Khairy) masih lagi belum memberikan jawapan untuk menyertai Bersatu.
"Tapi dalam perjumpaan berkenaan, ada tiga perkara penting yang diberitahu iaitu beliau tak akan kembali kepada UMNO.
"Keduanya, KJ tidak akan menyokong PH-BN selagi UMNO berada dalam gabungan itu dan ketiganya, beliau tidak akan tubuh parti baharu. Dari situ, kita buat bacaan dia menyokong PN walau tak sertai kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil pertemuan antara Khairy dan Muhyiddin pada Isnin.
Sumber itu turut mendedahkan, sehingga kini tiada tawaran kerusi dibuat kepada KJ selagi bekas Menteri Kesihatan itu tidak menyertai mana-mana parti komponen dalam PN.
"Kita belum tawar kerusi untuk dia, selagi tak masuk mana-mana parti sama ada Pas atau Bersatu. Mana boleh kita buat tawaran kerusi?
"Kalau tak join, maknanya dia tak nak bertanding. Macam Tan Sri Noh Omar (bekas Pengerusi UMNO Selangor) yang tak berkeinginan nak bertanding dalam PRN, dia tak masuk mana-mana parti tapi berkempen untuk PN untuk memastikan UMNO BN tumbang.
"Macam Tan Sri Annuar Musa (bekas Setiausaha Agung UMNO) nak bertanding, dia sertai Pas,” ujar beliau.
Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika dihubungi berkata, pertemuan itu disifatkan sebagai satu perjumpaan yang baik.
Jelasnya, kedua-dua pemimpin itu bersetuju dalam banyak perkara dan berkisar tentang perkembangan politik semasa.
"Ia adalah perjumpaan yang baik dan mereka bersetuju dalam banyak perkara.
"Secara peribadi, saya yakin dalam keadaan sekarang ini, ramai pemimpin yang bukan menjadi ahli kepada mana-mana parti dalam komponen PN memberikan sokongan kepada kita.
"Tak semestinya tunggu mereka mengambil jawatan dalam parti dan sebagainya. Ia tak akan menghentikan mereka daripada menolong usaha yang telah dibuat. Ia jelas, ramai yang sokong termasuk Tan Sri Noh Omar,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca