PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diramal hampir mustahil untuk menang satu kerusi pun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti jika mereka bergerak atau bertanding secara solo tanpa kerjasama dengan mana-mana parti politik lain.
Malah, penganalisis politik juga menjangkakan parti pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu bukan hanya sekadar tewas, malah besar kemungkinan hilang deposit di semua kerusi ditandingi pada PRN nanti kerana bilangan penyokong tegarnya tidak ramai berbanding gergasi politik lain.
Ini susulan pendirian terbaru Muda yang dikatakan mahu bertanding solo tanpa bekerjasama sama ada dengan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) pada PRN nanti.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar menjelaskan berpendapat, tidak salah jika Muda mahu bergerak, namun peluang mereka menang mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri pada PRN nanti amat tipis.
"Sebagai memenuhi praktis demokrasi, pertimbangan Muda memasuki pilihan raya tiada sebarang kesalahan tetapi bermasalah daripada prospek kebolehmenangan kepada parti berkenaan.
"Kemungkinan besar calon mereka hilang wang pertaruhan amat tinggi dalam PRN kali ini kerana menjadi aturan biasa dalam politik, parti yang mempunyai bilangan kerusi kecil tidak dipandang sangat oleh pengundi serta parti yang menang dalam jumlah besar,” katanya kepada Sinar Premium.
Terdahulu, Ketua Penerangan Muda, Luqman Long mendedahkan setakat ini tiada rundingan dibuat bersama PH berhubung kerjasama, jumlah kerusi dan kawasan akan ditandingi parti itu pada PRN nanti.
Luqman berkata demikian ketika menyangkal kenyataan dikeluarkan Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari bahawa Muda akan meneruskan kerjasama dengan gabungan itu pada PRN akan datang.
Sementara itu, Syed Saddiq ketika dihubungi Sinar Premium enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan bahawa Muda bakal bertanding secara solo dalam PRN nanti.
Sebaliknya, Syed Saddiq meminta supaya bersabar dan menunggu kenyataan rasmi yang bakal dikeluarkan Muda dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Hisomuddin menegaskan, Muda perlu menerima hakikat dan memahami realiti bahawa selepas PRU15, ternyata mereka gagal untuk membantu menarik anak muda supaya mengundi PH.
Malah, undi dan kemenangan Syed Saddiq sendiri di kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu sebenarnya bergantung kepada undi penyokong PH bukannya penyokong parti berkenaan.
"Selepas PRU15, Muda juga menghadapi dilema sama ada mereka perlu kekal bersama dengan PH yang tidak mengendahkan peranan dan keberadaannya dalam politik sekarang.
"Sikap Muda juga seakan bertentang arus dengan kerajaan menyebabkan pendirian parti tersebut sudah bermasalah.
"Jadi pada hemat saya, dalam PRN ini Muda sukar untuk memperoleh kerusi dengan prestasi dan pendiriannya kini,” jelasnya.
Berikutan itu, Hisomuddin menegaskan Muda perlu menetapkan sikap mereka dengan jelas, sama ada ingin bersama dengan gabungan PH-BN ataupun PN pada masa depan.
"Muda boleh bertanding solo jika mereka mempunyai tekad, azam dan berani secara amnya kebanyakan parti kecil akan menghadapi jalan yang sukar untuk terus bertahan menjelang PRU16 nanti,” kata beliau.
Setakat ini, Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz menjadi satu-satunya pemimpin parti itu yang memenangi kerusi DUN ketiga PRN Johor pada Mac 2022.
Sama seperti Syed Saddiq, Amira Aisya ketika itu mendapat sokongan daripada penyokong PH ketika bertanding kerusi DUN Puteri Wangsa.
Amira menang dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Masa depan pudar
Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat juga sependapat dengan Hisomuddin.
Beliau menegaskan, berdasarkan sistem pilihan raya 'First-Past-the-Post' dan politik gabungan hari ini, masa depan Muda memang pudar seperti Gerakan dalam era BN sungguhpun potensinya untuk mengangkat kepentingan anak muda jauh lebih besar.
"PH sukar untuk memberikan kerusi kepada Muda kerana mereka kini perlu mengagihkan kawasan ditandingi dengan BN sekali gus menyukarkan mereka untuk diberi ruang pada PRU16 nanti,” ujarnya.
Chin Huat juga menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kekuatan Muda untuk menjadi pesaing kedua terkuat selepas gabungan PH-BN jika mereka gagal menang sebarang kerusi dalam PRN nanti.
"Jika Muda berjaya menang kerusi dalam persaingan tiga penjuru dengan PH-BN dan PN, maka PH tiada pilihan kecuali berunding dengan Muda untuk menghadapi PRU16 nanti.
"Kalau Muda sekadar mendapat tempat ketiga dalam persaingan pada PRN nanti dan hilang wang pertaruhan di semua kerusi ditandingi, maka mereka mungkin akan terkubur,” katanya.
Chin Huat berkata, dua faktor yang akan menentukan prestasi Muda dalam persaingan tiga penjuru jika mereka bergerak solo pada PRN nanti termasuklah jumlah kerusi yang akan ditandingi.
Kedua, kata Chin Huat, persoalan kemampuan Muda untuk memikat hati golongan pengundi PAMU (Parti Aku Malas Undi) untuk mengundi mereka pada PRN nanti.
Bagaimanapun, jika Muda cuba bertanding dalam banyak kawasan, ia akan dilihat sebagai spoiler kepada PH-BN dan kempennya akan bertelagah dengan PH-BN.
"Akibatnya Muda akan menakutkan penyokong tegar PH sehingga ia kalah teruk macam nasib dialami Gerak Independent dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada PRU15 lalu. Muda juga mungkin boleh menang satu atau dua kerusi jika mereka berjaya menarik undi golongan PAMU yang sudah muak dengan PH-BN dan PN dengan menonjolkan isu keprihatinan anak muda,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca