MALAYSIA sejak mutakhir ini mempunyai sejarah politik yang berwarna-warni. Sejak merdeka sehinggalah tahun 2018, satu pakatan koalisi politik walaupun bertukar-tukar keahlian parti di dalamnya terus menguasai pemerintahan negara. Sejak... Klik di sini untuk terus membaca

MALAYSIA sejak mutakhir ini mempunyai sejarah politik yang berwarna-warni. Sejak merdeka sehinggalah tahun 2018, satu pakatan koalisi politik walaupun bertukar-tukar keahlian parti di dalamnya terus menguasai pemerintahan negara.

Sejak parti Perikatan dan kemudian menjadi Barisan Nasional (BN), rakyat Malaysia hanya tahu bahawa kerajaan BN sahaja yang ada pengalaman memerintah negara.

Walaupun sebenarnya sebelum 2018 melalui beberapa pilihan raya negeri sudah ada parti-parti lain yang mampu memerintah negeri, namun rata-rata rakyat tidak pernah terfikir sehinggalah Mei 2018.

BN memerintah Malaysia selama 61 tahun. Hari ini, BN kembali bersama Pakatan Harapan (PH) berkongsi kuasa melalui Kerajaan Perpaduan.

Sejak Mei 2018 sehingga sekarang, kita telah menyaksikan tiga kali pertukaran kerajaan dan pimpinan negara. Ini bukan satu yang mustahil lagi.

Apa yang penting semua peralihan kuasa dalam kerajaan ini berlaku secara aman. Itu yang baik. Tetapi yang kurang baik adalah apabila terlalu kerap bertukar kuasa, sebenarnya telah mengganggu proses pemulihan ekonomi negara.

Persoalan lain yang perlu ditanya, adakah dengan pertukaran-pertukaran ini akan menentukan politik dalam negara kita lebih stabil dan kerajaan yang ada akan memberi penumpuan kepada pembangunan negara, serta membantu memulihkan semula ekonomi rakyat yang tersisih akibat pandemik Covid-19.

Pada masa sama, apakah kepastian kita bahawa kerajaan yang ada ini akan dapat terus bertahan? Semua rakyat mendambakan era baharu dengan pemerintahan dan politik yang baik serta stabil. Tetapi masih terdapat pelbagai spekulasi pertukaran kerajaan terutama selepas pilihan raya negeri nanti.

Ini sangat memenatkan ramai rakyat yang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, memberi gambaran seolah-olah sistem demokrasi dalam negara ini bukan ditentukan pengundi, tetapi oleh mereka yang diundi.

Sebab itu, mungkin tidak banyak parti politik yang bersungguh-sungguh mahu mendidik rakyat supaya sedar hak mereka sebagai pengundi serta memahami sistem demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan. Lebih ramai tidak memahami perkara ini mungkin lebih baik pada pandangan sesetengah pemimpin politik.

Pandangan saya mungkin salah, dan buktikan bahawa saya bersalah dengan menunjukkan berapa banyak sekolah demokrasi dianjurkan parti-parti politik yang bertujuan untuk mendidik rakyat terbanyak, untuk memahami peranan dan hak mereka sebagai rakyat dalam negara demokrasi.

Mungkin ada satu dua parti yang mengadakan sekolah demokrasi ini tetapi kumpulan sasaran mereka lebih kepada ahli parti-parti tersebut.

Maka sebab itu mungkin usaha-usaha mendidik rakyat ini diambil alih pihak masyarakat sivil atau orang perseorangan yang menjuarai demokrasi.

Hari ini kita boleh memilih untuk kekal seperti sedia ada dengan membenarkan ahli politik menentukan masa depan kita, atau boleh memilih untuk mentakrifkan semula tonggak demokrasi dalam negara ini mengikut kehendak kita sebagai rakyat berdasarkan perlembagaan yang diperjuangkan nenek moyang dahulu.

Kita perlu bertanya pada diri kita, sama ada sebagai pengundi dan rakyat, secara kolektif kita telah mengkhianati mereka yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan negara dahulu.

Hanya kerana kita ingin kekal dalam keselesaan kita dan mendiamkan diri. Atau perlukah kita ke depan untuk membantu menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat terbanyak?

Kolum rintihan rakyat kali ini ingin mengajak semua pembaca untuk sama-sama secara kolektif menjadi pemangkin kepada satu gerakan kesedaran rakyat tentang pendidikan demokrasi dan pilihan raya.

Perlu ambil kesempatan pada pilihan raya negeri untuk kita mendidik dan menyedarkan rakyat tentang hak dan peranan mereka. Kita semua mendambakan Malaysia yang lebih baik. Ini bukan satu perkara mustahil untuk dicapai.

Sejak dua hari ini, saya hadir di The Hasanah Forum anjuran Yayasan Hasanah. Tema forum pada tahun ini adalah untuk memupuk dermawan berasaskan keadilan.

Saya amat berbangga melihat pertumbuhan yang pesat sejak akhir-akhir ini di dalam negara kita dengan kewujudan pelbagai usahawan sosial berusaha membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Semua usaha ini akan menjadi sia-sia sahaja sekiranya sistem demokrasi negara tidak dihormati. Lebih malang apabila usaha baik yang dimulakan oleh Yayasan Hasanah ini tidak diberi perhatian oleh mereka yang mempunyai kuasa.

Semoga Malaysia kembali dihormati di mata dunia!

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca