SHAH ALAM - Pelantikan Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara yang baharu, manakala Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai timbalannya merupakan kombinasi terbaik demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, gandingan mantap kedua-dua tokoh itu tidak dapat disangkal lagi memandangkan masing-masing mempunyai kredibiliti serta berpengalaman lama dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, semua pihak tahu Razarudin merupakan pegawai kanan polis yang sudah lama berkhidmat dengan PDRM dan Ayob Khan pula telah membuktikan prestasi terbaik beliau ketika menjadi Ketua Polis Johor sungguhpun masih muda.
"Oleh itu, saya berpendapat apabila kedua-duanya digabungkan, ia menjadi satu kekuatan pada PDRM dan akhirnya dapat membina sebuah pasukan yang berintegriti, berprestij tinggi serta membawa imej ke suatu tahap membanggakan.
"Saya rasa tidak sukar untuk kedua-dua individu tersebut memandangkan mereka mempunyai objektif yang sama. Mereka boleh bekerjasama dengan baik demi memastikan keselamatan dan kadar jenayah dapat dikurangkan di negara ini,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan menjelaskan, pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
Ia berkuat kuasa Jumaat ini, pelantikan Razarudin secara kontrak selama dua tahun adalah bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang bersara lebih awal.
Tambah Lam Thye, sungguhpun bukan dalam masa terdekat tetapi sekurang-kurangnya ia telah menetapkan langkah yang betul.
"Tidak dinafikan semua perkara tersebut memerlukan masa namun saya percaya dengan kewibawaan mereka, PDRM dapat jalankan pelbagai urusan dengan baik.
"Selain itu, kedua-dua pemimpin itu juga dilihat sangat komited dalam menjaga kebajikan semua anggota PDRM tanpa mengira pangkat,” ujarnya.
Sudah sampai masanya Ayob Khan terbang tinggi
Sementara itu, keputusan untuk melantik Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara adalah langkah tepat dalam mengembalikan imej positif Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, Ayob Khan adalah individu paling sesuai untuk menggalas tanggungjawab sebagai orang nombor dua badan beruniform berkenaan.
Menurut Shahul, seperti yang diketahui umum, Ayob Khan merupakan seorang pegawai yang terkenal dengan ketegasannya dalam membanteras jenayah dan salah guna kuasa.
"Rekod Ayob Khan bukan sahaja bersih malah turut digeruni dalam kalangan pegawai dan anggota bawahan yang cuba bersekongkol dengan penjenayah,” katanya di sini pada Selasa.
Jelasnya, ini terbukti apabila seramai 18 pegawai rendah polis dan seorang pegawai awam Kontinjen Johor dibuang pada 2021 kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan ketika beliau menjadi Ketua Polis Johor.
"Ini kerana beliau berpegang teguh kepada aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah.
"Malah dalam menjalankan tugas beliau tidak kisah ditohmah, dikritik, dikecam dan diugut malah bersedia bertanggungjawab jika kelemahan itu datang dari pihaknya,” jelas Shahul.
Ujarnya lagi, sudah pasti pelantikan Ayob Khan ke jawatan kedua tertinggi PDRM itu dinanti-nanti oleh rakyat Malaysia yang mengharapkan pembaharuan dalam PDRM.
"Rakyat majoritinya kalau dilihat dari pada komen-komen di media sosial selama ini memang mengharapkan Ayob menjadi pimpinan tertinggi dalam PDRM dan akhirnya doa rakyat Malaysia telah dimakbul tuhan,” katanya.
Tambahnya, beliau seperti rakyat Malaysia yang lain berharap Ayob Khan dapat menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.
"Saya yakin kita akan dapat melihat satu perubahan dalam PDRM apabila beliau berganding dengan Ketua Polis Negara yang baharu, Tan Sri Razarudin Husain,” katanya.
Profil Tan Sri Razarudin Husain
Umur: 60 tahun
Asal: Dengkil, Selangor
Isteri: Puan Sri Zainah Othman, 57
Anak: 5 orang
Pendidikan: Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Tempoh berkhidmat: 39 tahun
Jawatan pernah disandang:Ketua Polis Perak
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman
Disember 2021: Timbalan Ketua Polis Negara
Bermula 23 Jun 2023: Ketua Polis Negara
Profil Datuk Seri Ayob Khan
Umur: 57
Asal: Kota Setar, Kedah
Isteri: Datin Seri Zalena Mohd Ariffin, 59
Anak: 2 orang
Kelulusan: ljazah Sarjana Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tempoh berkhidmat: 30 tahun
Jawatan pernah disandang:
2016: Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Cawangan Khas
Februari 2020: Ketua Polis Johor
Januari 2022: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman
April 2023: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Bermula 23 Jun 2023: Timbalan Ketua Polis Negara
Klik di sini untuk terus membaca