IDLIB - Pada minggu lalu, bakal jemaah haji dari barat laut Syria melalui lintasan sempadan Bab al-Hawa, Bab al-Salamah dan Tel Abyad yang menghubungkan dengan Turkiye menuju ke Lapangan Terbang Gaziantep untuk menaiki penerbangan ke Arab Saudi.
Pentadbiran Bab al-Hawa mula menerima kumpulan tersebut di balai pelepasan dan memproses segala dokumen serta memeriksa bagasi mereka sebelum memulakan perjalanan untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
Faddah Alabu, 70, yang menghidap hemiplegia atau lumpuh sebelah bahagian tubuh bakal mengerjakan ibadah itu bersama anak lelakinya dan dia tidak menjadikan ketidakupayaannya sebagai penghalang untuk menyahut seruan haji pada kali ini.
"Anak saya bersama-sama mengumpulkan wang dan turut meminjam daripada saudara-mara bagi menunaikan hasrat saya untuk ke Makkah.
"Saya menunggu detik ini selama 15 tahun. Ia adalah perjalanan paling indah ke Tanah Suci,” katanya dalam nada sebak.
Difahamkan, kos haji mencecah kira-kira AS$4,200 (RM19,490) untuk kos perjalanan, penginapan, makanan dan kesemua perkhidmatan yang diperlukan jemaah di bawah pengawasan Jawatankuasa Tertinggi Haji Syria.
Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pada akhir 2012 selepas Kementerian Haji Saudi menandatangani perjanjian bersama Gabungan Kebangsaan Syria bagi memudahkan prosedur haji dan menguruskan hal berkaitan.
Farah Hamidi, 59, dari Maarat Misrin juga berkongsi kisah yang sama seperti Faddah.
"Kos haji saya ditanggung sepenuhnya oleh anak-anak saya walaupun hidup kami susah. Saya tidak sabar mahu menjejakkan kaki ke Makkah.
"Perjalanan ini adalah impian setiap Muslim di seluruh dunia dan semoga doa mereka yang menyimpan hasrat sama dimakbulkan oleh ALLAH SWT,” ujarnya yang turut dihantar ahli keluarga dan jirannya sebelum dia menaiki bas melintasi sempadan Turkiye.
Bagi Zakaria al-Qasem, 75, dari perkampungan Ain Shib, dia tetap berasa teruja walaupun ia adalah kali keempat menjadi tetamu ALLAH.
"Saya pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada tahun 2000 dan kali terakhir pada 2017. Saya mengumpulkan wang untuk mengerjakan haji sekali lagi bersama isteri yang pertama kali menyahut seruan ke Baitullah,” tambahnya lagi. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca