[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Kesalahan melibatkan lawan arus bukan satu kejadian baharu di negara ini, malah ia melibatkan kehilangan nyawa serta kecacatan kekal seumur hidup. Tindakan dan penguatkuasaan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM)... Klik di sini untuk terus membaca

[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Kesalahan melibatkan lawan arus bukan satu kejadian baharu di negara ini, malah ia melibatkan kehilangan nyawa serta kecacatan kekal seumur hidup.

Tindakan dan penguatkuasaan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa dilaksanakan bagi memastikan ia tidak berulang, namun tampaknya tidak memberikan perasaan takut kepada pelaku tegar ini.

Mengikut statistik PDRM, sebanyak 37 kemalangan maut akibat kesalahan pemanduan lawan arus direkodkan sepanjang tahun ini sehingga 18 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, jumlah kemalangan direkodkan akibat lawan arus bagi tempoh yang sama pula ialah 1,350 kes.

Menurutnya, jumlah pengguna jalan raya yang maut adalah sebanyak 37 kes, cedera parah (13 kes), kerosakan ringan pada kenderaan (99 kes) dan kerosakan keseluruhan (1,201 kes).

"Kesemua pengguna jalan raya wajib mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan.

"Menunggang atau memandu melawan arus ialah perbuatan yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

"Penguatkuasaan dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 seperti Seksyen 41(1) iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan, Seksyen 42(1) iaitu memandu secara melulu dan membahayakan, Seksyen 43(1) iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata Mat Kasim, pihaknya sentiasa memandang serius berkaitan kes ini.

Ujarnya, penguatkuasaan sentiasa dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya memahami dan mengikut peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

Jelas beliau, semua tanda isyarat lalu lintas yang diletakkan di jalan raya mempunyai maksud atau arahan yang tertentu.

"Ada antara kes yang mana pengguna mendakwa tidak bersalah, jadi dalam soal ini pembuktian tidak bersalah terletak kepada pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas dengan merujuk kepada Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.

"Bagi kes yang tidak melibatkan kemalangan, JSPT akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 79(2) akta yang sama,” katanya.

Kes maut melibatkan lawan arus 14 JUN 2023: Seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada jam 1.10 petang.

"Siasatan awal mendapati, mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh.

"Mangsa kemudian cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus, namun dia kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter, manakala motosikal yang ditunggangnya telah terseret ke tengah jalan,” katanya.

25 FEBRUARI 2022: Seorang pemandu maut manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint) di Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kemalangan jam 1 pagi itu, kedua-dua kenderaan berkenaan bertembung di Kilometer 6.2 arah Hartamas menghala Plaza Tol Pantai.

"Pemandu Perodua Axia seorang lelaki berumur 28 tahun telah membuat pusingan U di Plaza Tol Pantai lalu memandu secara melawan arus dan melanggar sebuah Proton Saga di lorong paling kiri."Pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Proton Saga seorang lelaki, berumur 25 tahun telah dihantar ke Hospital Pantai Kuala Lumpur,” katanya.

6 FEBRUARI 2022: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 13 Lingkaran Karak berhampiran stesen minyak Shell menghala Plaza Tol Gombak , Selangor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa yang menunggang motosikal mengejar sebuah lagi motosikal yang melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gombak secara melawan arus.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas di laluan tersebut sebelum dilanggar sebuah kereta yang tidak sempat mengelak sekitar jam 9.30 pagi.

"Situasi mengejar berlaku dalam keadaan melawan arus di lorong kecemasan dari arah Tol Gombak menghala ke arah Sri Gombak.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kiri jalan sebelum dilanggar oleh sebuah kereta yang tidak sempat mengelak,” katanya.

15 MEI 2020: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus di susur masuk Jambatan Pulau Pinang, Bukit Mertajam.

Dalam kejadian pada jam 10.35 pagi itu, kereta Produa Myvi itu dikatakan merempuh dua buah motosikal di laluan berkenaan.

Akibat rempuhan berkenaan, seorang penunggang motosikal dikenali sebagai Muhamad Hafiz Bakri, 31, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa, Lim Kar Tian, 34, patah kaki kiri.

Klik di sini untuk terus membaca