PASTI ada perasaan suka duka selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan pada 8 Jun lalu. Pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang sudah tentu memiliki perancangan untuk meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam atau di luar negara.
Namun, bagi yang kurang berjaya, mereka sering dimomokkan dengan kata-kata negatif, kononnya boleh memasuki bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Naratif untuk pelajar kurang cemerlang menjurus ke arah bidang TVET.
Penulis percaya Pemerkasaan Pendidikan Madani boleh dijadikan garis panduan terkini untuk semua pelajar lepasan SPM – mengukuh dan memperbaiki sistem pendidikan berlandaskan nilai agama serta peradaban bangsa menerusi TVET.
Dalam hal ini, penulis mengharapkan Pelan Tindakan Strategik Eko-Pendidikan Negeri Selangor (SELESTARI 2023-2025) yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari boleh melestarikan sistem pendidikan dan latihan kemahiran, bukan sahaja di Selangor tetapi juga di peringkat kebangsaan.
Penulis difahamkan Yayasan Selangor dipertanggungjawabkan sebagai urus setia yang dilantik oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi melestarikan sistem TVET.
Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam usaha mendidik dan melahirkan pelajar cemerlang bagi bidang TVET lepasan SPM, penulis percaya harus ada wacana jelas untuk memastikan sistem Pendidikan Madani Berkemahiran (PMB) atau TVET dapat dilaksanakan dengan cemerlang.
Malah, penulis juga turut menerapkan kepentingan TVET di peringkat murid lagi dengan memperkenalkan konsep TVET Junior.
Sebelum pelaksanaan PMB dan TVET dapat dimulakan, penulis percaya ada beberapa perkara perlu dilakukan termasuk mengenal pasti kekuatan, peluang, kelemahan serta ancaman pendidikan terkini dan faktor kritikal bagi memastikan kejayaan dapat dicapai.
Yang jelas, TVET masih mengalami masalah kekurangan tenaga pengajar berkualiti dan berpengalaman di lapangan. Wujud masalah kekurangan sumber daya dan infrastruktur untuk menyokong pelaksanaan PMB.
Selain itu, wujud juga keperluan kritikal untuk memperbaiki kualiti pe-ngajaran dan pembelajaran dalam PMB bagi memastikan penyampaian efektif serta relevan, seiring era perubahan teknologi baharu yang berlaku dengan pantas.
Penulis melihat masyarakat masih belum sepenuhnya memahami kepentingan TVET. Sebagai negara yang agak ke hadapan dalam bidang TVET, Malaysia sebenarnya memiliki kekuatan tersendiri bagi memastikan sistem PMB dapat diintegrasikan ke dalam pendidikan TVET.
Jika ia berjaya direalisasikan, Malaysia mampu melahirkan golongan graduan holistik yang lebih baik daripada lulusan universiti di Barat.
Malaysia sebenarnya berpeluang meningkatkan taraf sistem pendidikan TVET menerusi PMB dengan syarat wujud kerjasama antara institusi pendidikan dan wakil terpilih dalam kalangan masyarakat, industri serta agensi berkaitan. Ia sekali gus membolehkan peralatan teknologi dan media diterap dalam PMB.
Pada masa sama, TVET akan berjaya sekiranya kemahiran teknikal, kepimpinan berkualiti dan pembangunan program dengan kerjasama pusat latihan atau pengajian tinggi berusaha seiring industri.
Sokongan kerajaan pusat dan negeri serta penyertaan aktif industri dalam menyediakan pembangunan modul latihan boleh menjadi faktor kejayaan PMB dan TVET.
Pelajar lepasan SPM perlu berusaha melibatkan diri dalam program pendidikan dan pembangunan kemahiran. Pihak terlibat dalam PMB dan TVET juga perlu sentiasa mengemas kini pembelajaran bagi memastikan ia sesuai dengan perkembangan semasa industri.
Penulis berharap masyarakat segera membuang naratif negatif sekiranya bertemu pelajar yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Kurang cemerlang dalam SPM tidak bermakna pelajar tiada peluang untuk menjadi pekerja cemerlang dalam bidang TVET.
Penulis pernah mengupas kepentingan TVET ketika pandemik. Ia menjadi aspek utama dalam kehidupan seharian ketika Covid-19 bermaharajalela di Malaysia.
Kesimpulannya, lulusan SPM boleh membina kerjaya dengan meneruskan pelajaran dalam bidang TVET yang mampu melahirkan insan berilmu dan berkemahiran tinggi dalam teknologi industri terkini.
* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca