[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - Pengguna jalan raya yang didapati bersalah melawan arus perlu dikenakan hukuman yang berat agar dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada orang ramai.
Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, hukuman berat perlu dikenakan terhadap pesalah jalan raya memandangkan kesalahan lawan arus ini boleh mengakibatkan kehilangan nyawa kepada mereka yang tidak bersalah.
"Tindakan saman semata-mata disifatkan kurang relevan memandangkan kesalahan ini amat berat dan memberikan risiko yang tinggi terhadap pengguna jalan raya lain.
"Perbuatan melawan arus meningkatkan risiko perlanggaran dan boleh menyebabkan kecederaan yang serius atau kematian,” katanya kepada Sinar Harian.
Kata beliau, penguatkuasaan yang sangat tegas sekali gus dapat mendisiplinkan pengguna jalan raya dan mengubah kedegilan sesetengah pesalah tegar ini.
"Kita berbalik kepada tujuan undang-undang diwujudkan dan dikuatkuasakan adalah sebagai satu bentuk pengajaran dan pendidikan melalui satu bentuk hukuman iaitu saman bagi kesalahan yang kurang serius dan penjara termasuk penggantungan atau pembatalan lesen memandu pesalah setelah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, ujarnya.
Menurutnya, antara faktor penyebab dilihat menjadi punca lawan arus ini adalah sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna jalan raya.
"Antara penyebab perbuatan melawan arus ini disebabkan kurangnya disiplin dan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang oleh sesetengah pengguna jalan raya itu sendiri.
"Pengguna perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan tahap pemanduan mereka sentiasa dalam tahap yang selamat dengan mengamalkan segala ilmu pemanduan selamat yang telah dipelajari semasa proses mengambil lesen memandu di institut memandu satu masa dahulu,” katanya.
Ujar Tengku Ahmad Marwan, langkah pemberian diskaun pembayaran saman setiap kali menjelangnya musim tertentu juga perlu dikaji semula.
"Saya melihat pemberian diskaun sebegini adalah sesuatu yang kurang sesuai memandangkan ia seolah-olah memberi satu mesej bahawa undang-undang yang dikuatkuasakan tidak tegas dan ada unsur tolak ansur.
"Penguatkuasaan terhadap undang-undang dan peraturan yang diperuntukkan perlulah tegas tanpa sebarang kompromi sekali gus memastikan semua pengguna jalan raya mematuhinya dan tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan ditetapkan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca