NEW YORK - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran kapal selam yang dilaporkan hilang berhampiran lokasi bangkai Titanic memasuki fasa kritikal.
Berdasarkan anggaran awal Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), bekalan oksigen di dalam Titan dijangka habis sekitar jam 7.18 pagi (waktu tempatan) pada Khamis.
Bekalan oksigen kecemasan didakwa hanya mampu bertahan selama 96 jam.
Namun, pakar memberitahu bekalan oksigen tersebut bergantung kepada pelbagai faktor termasuk sama ada kapal masih mempunyai bekalan kuasa dan bagaimana kesemua mangsa penumpang menghadapi situasi itu dengan tenang.
Berikutan masa yang semakin suntuk, beberapa aset bersama pakar telah dikerahkan ke lokasi untuk menyertai misi mencabar tersebut, malah sonar turut mengesan ‘bunyi bising’ tidak dikenal pasti.
Susulan itu, penganjur tindak balas multinasional termasuk pesawat tentera Kanada dan AS bersama robot telepandu telah menumpukan usaha mereka di Atlantik Utara berhampiran kawasan ‘bunyi bising dasar laut’ yang dikesan sejak Selasa lalu.
Bunyi misteri itu seakan memberi harapan baharu bahawa kesemua mangsa penumpang kapal selam Titan mungkin masih hidup walaupun tiada petunjuk jelas.
"Kadangkala anda berada di situasi yang perlu membuat keputusan sukar tetapi kami belum berputus asa kerana harus kekal optimis,” kata Pengawal Pantai AS, Kapten Jamie Frederick.
Beliau berkata, zon carian juga telah diperluaskan meliputi bahagian Atlantik Utara, kira-kira dua kali ganda saiz Connecticut dan pada kedalaman empat kilometer.
Titan dilaporkan mula turun pada jam 8 pagi (waktu tempatan) pada Ahad dan sepatutnya naik semula ke permukaan kira-kira tujuh jam kemudian.
Sebuah kapal induk di permukaan mendakwa ia terputus hubungan dengan Titan, kira-kira sejam dan 45 minit ia menyelam ke lokasi bangkai Titanic tenggelam ketika pelayaran pertama trans-Atlantik kapal itu pada 1912.
Operasi antarabangsa Misi SAR yang kompleks itu telah menjadi operasi logistik antarabangsa berskala besar dengan kehadiran kapal-kapal antarabangsa yang sebahagian-nya dilengkapi robot dasar laut.
Pengendali Titan, OceanGate Expeditions bagaimanapun mengetuai operasi mencabar itu kerana pengetahuan mereka yang lebih meluas tentang lokasi tersebut.
Tom Zaller yang mengendalikan syarikat di sebalik Titanic: The Exhibition menyifatkan pengalaman menaiki kapal selam untuk melihat bangkai Titanic adalah pengalaman yang amat menakutkan dan tidak dapat dilupakan.
"Semakin anda tiba ke dasar, keadaan sekeliling semakin gelap dan suhu menjadi sejuk,” katanya yang menyertai ekspedisi itu kira-kira 23 tahun yang lalu bersama kapal milik Rusia dan dua kapal selam yang melakukan penyelidikan.
Menurutnya, dia menaiki kapal selam berukuran selebar dua meter itu selama 12 jam.
"Bayangkan kelima-lima mangsa penumpang itu terperangkap selama empat hari. Saya harap mereka selamat,” ujarnya yang berharap kesemua mereka dapat ditemui sebelum kehabisan bekalan oksigen.
Titan membawa bilionair Britain, Hamish Harding dan taikun Pakistan, Shahzada Dawood serta anak lelakinya, Suleman yang merupakan warga Britain dengan tiket berharga AS$250,000 (RM1.16 juta) seorang.
Ekspedisi berkenaan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate, Stockton Rush dan pengendali kapal selam Perancis, Paul-Henri Nargeolet yang mendapat julukan Mr Titanic kerana berpengalaman menyelam di lokasi tersebut. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca