SHAH ALAM - PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di fasa akhir untuk membuat keputusan sama ada bertanding solo atau bekerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di fasa akhir untuk membuat keputusan sama ada bertanding solo atau bekerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi menjelaskan, kata putus parti itu akan diumumkan dalam masa yang terdekat setelah mengambil kira semua faktor khususnya kepentingan dan masa depan parti itu.

"Kami masih belum membuat sebarang pengumuman berkaitan pendirian Muda menuju PRN.

"Untuk masa ini, ia dalam fasa akhir perbincangan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda untuk mengambil kira pandangan pimpinan negeri dan akar umbi,” katanya kepada Sinar Premium.

Amir turut menafikan dakwaan tentang pendirian Muda yang ‘goyah’ dan seakan-akan bertentang arus dengan Kerajaan Perpaduan sehingga mahu bergerak solo tanpa berlindung di bawah mana-mana parti.

"Pendirian Muda sebenarnya tidak berubah atau berbeza, malah kekal konsisten sejak hari pertama ditubuhkan. Dalam kerajaan atau sebagai pembangkang, kami telah membicarakan soal penyalahgunaan kuasa, rasuah, reformasi dan lain-lain.

"Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kami turut membahaskan isu projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dan pindaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sehingga kini.

"Tiada apa yang berbeza kerana kami akan terus memperjuangkan isu yang bersangkut paut dengan kepentingan rakyat, prinsip serta dasar parti,” jelasnya.

Pada Isnin, media melaporkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan Muda akan meneruskan kerjasama dengan PH pada PRN enam negeri kelak selaras dengan persefahaman yang dilakukan pada PRU15 November lalu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Muda, Luqman Long membidas kenyataan Amirudin dengan menjelaskan tiada sebarang rundingan dibuat antara Muda dan PH berkenaan kerjasama strategik, jumlah kerusi termasuk kawasan yang bertanding.

Luqman turut menegaskan bahawa sebarang keputusan atau perkara berkenaan urusan PRN hanya akan diumumkan oleh Muda bukan PH namun jumlah kerusi yang bakal ditandingi Muda mewakili PH pada PRN itu akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

Dalam pada itu, Amir Hariri juga menafikan terdapat sebarang perbincangan dengan PH melibatkan PRN.

"Sehingga ke hari ini, tidak berlaku sebarang rundingan rasmi bersama PH. Muda akan mengumumkan pendiriannya dengan jelas sama ada ingin bersama PH atau dengan bergerak solo dalam masa yang terdekat,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca