[EKSKLUSIF] SHAH ALAM - "Riak wajahnya begitu gembira tatkala dihadiahkan kasut untuk ketika sambutan Hari Bapa tahun lalu.
”Demikian luahan Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36, anak kepada penunggang Ducati, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang pada Rabu minggu lalu.
Muhammad Hafidz berkata, pemberian kasut itu antara kenangan yang tidak dapat dilupakannya dan arwah ayahnya tampak begitu gembira kerana tidak menyangka dihadiahkan sepasang kasut.
"Wajah abah tampak gembira dan bahagia, arwah terus memeluk saya dan mengucapkan terima kasih atas pemberian tersebut sempena Hari Bapa.
"Abah memang seorang yang minat dalam bidang permotoran, jadi saya hadiahkan kasut untuk arwah gunakan ketika menunggang motosikal,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Tambah Muhammad Hafidz, rindunya kepada ayahnya tidak akan luput dalam ingatan memandangkan arwah seorang yang penyayang dan baik terhadap anak-anak.
"Hari Bapa kali ini (Ahad lalu) saya tiada lagi seorang abah di sisi, namun doa saya sebagai anak sentiasa mengiringinya.
"Saya amat rindukan nasihat dan pesanannya kepada saya dan kami sekeluarga, masih terngiang lagi pesanan arwah agar kami menjaga solat,” katanya.
Jelasnya, apa yang berlaku terhadap arawah bapanya diharap tidak akan berulang di masa hadapan kepada pengguna jalan raya yang lain.
"Ingatlah jalan raya adalah tempat untuk semua, semua berhak untuk berada dalam keadaan selamat dengan mengutamakan peraturan sedia ada,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca