SHAH ALAM - Perbalahan terbuka antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengenai kedudukan kerusi pilihan raya negeri (PRN) hanya akan membuka ruang ‘cah keting’ atau sabotaj. Ketua Penyelidik Ilham... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perbalahan terbuka antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengenai kedudukan kerusi pilihan raya negeri (PRN) hanya akan membuka ruang ‘cah keting’ atau sabotaj.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, sindrom yang kelihatan itu secara tidak langsung menyukarkan lagi usaha Kerajaan Perpaduan untuk merampas negeri yang ditadbir pembangkang tersebut.

Menurutnya, dalam hal ini, PH perlu mengakui bahawa UMNO dan Perikatan Nasional (PN)-Pas adalah parti dominan di negeri berkenaan dan dilihat lebih sesuai untuk bersaing.

"Jika (kerajaan) bercadang mencabar PN-Pas di Terengganu dalam PRN nanti, gabungan PH-BN perlu dipimpin oleh BN atau UMNO.

"Begitu juga logo, jika ingin momentum sokongan yang lebih baik, logo BN lebih sesuai untuk digunakan oleh pakatan PH-BN di Terengganu.

"Sebagaimana BN-UMNO mengakui PH lebih kuat di Selangor dan Pulau Pinang berbanding mereka, begitulah sewajarnya PH mengakui parti gabungan Kerajaan Perpaduan itu lebih kuat di Terengganu dan Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Beliau mengulas kemungkinan wujud cah keting atau sabotaj oleh PH-BN di Terengganu ketika ini.

MOHD YUSRI
MOHD YUSRI

Ia susulan tindakan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang berbalas kenyataan dalam isu agihan kerusi serta parti mana paling dominan pada PRN kali ini.

Keadaan itu bermula setelah Ahmad mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang secara terbuka mendakwa parti itu yakin boleh menang di beberapa kerusi yang dikenal pasti di negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan juga akan terhakis jika permasalahan itu tidak ditangani sebaiknya.

"Tidak mungkin untuk rakyat memberi kepercayaan kepada gabungan politik yang tidak stabil untuk memerintah negeri.

"Jika ingin mencabar Pas di Terengganu, PH-BN perlu sinergikan kekuatan, susun jentera secara bersama, buat program dan sebagainya,” katanya.

Ujarnya, PH-BN tidak akan mampu mencabar pembangkang di Terengganu jika tiada kesepakatan dan tolak ansur yang tinggi.

Klik di sini untuk terus membaca