SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap semua bekas ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti semasa peristiwa Langkah Sheraton sehingga menyebabkan runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.
Peguamnya, William Leong Jee Keen berkata, tindakan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat yang mengarahkan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kerana melanggar bon yang mengikatnya kepada parti.
Justeru, William berkata, PKR akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap semua bekas ahli Parlimen dan ADUN yang bertindak keluar parti semasa Langkah Sheraton pada Februari 2020.
"Namun saya kena semak semula fakta mengenai senarai dan jumlah sebenar bekas wakil rakyat PKR berkenaan dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana beliau adalah individu bertanggungjawab mengemukakan saman sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.
Sebelum ini, media melaporkan PKR membuat tuntutan terhadap 20 bekas ahli Parlimen dan ADUN termasuk Zuraida yang bertindak melanggar bon tersebut setelah bertindak keluar parti selepas peristiwa Langkah Sheraton.
Dalam pada itu, ADUN Sementa yang keluar daripada PKR, Dr Daroyah Alwi ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap Zuraida.
"Saya tidak boleh hendak komenlah,” kata beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat.
Selain Daroyah, Sinar Harian turut menghubungi ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham namun bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR itu tidak dapat memberikan respons.
Sementara itu, ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dalam komen ringkas kepada Sinar Harian memaklumkan beliau tidak pernah keluar daripada PKR.
Bekas ahli Parlimen, Adun dituntut RM10 juta oleh PKR
Ahli Parlimen (11)
- Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang)
- Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak)
- Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak)
- Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota)
- Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal)
- Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat)
- Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat)
- Ali Biju (Saratok)
- Jonathan Yasin (Ranau)
- Baru Bian (Selangau).
- Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo).
ADUN (9)
- Dr Chong Fat Full (Pemanis)
- Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia)
- Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau)
- Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia),
- Azman Nasrudin (Lunas)
- Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam)
- Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya)
- Daroyah Alwi (Sementa)
- Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh)
Klik di sini untuk terus membaca