SHAH ALAM - Indikator utama dalam pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya negeri (PRN) adalah berdasarkan ‘status quo’ iaitu dengan kebanyakannya dikekalkan berdasarkan parti yang menyandang. Naib Presiden Pas,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Indikator utama dalam pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya negeri (PRN) adalah berdasarkan ‘status quo’ iaitu dengan kebanyakannya dikekalkan berdasarkan parti yang menyandang.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, tidak timbul isu Pas mendominasi dan diberikan kelebihan memandangkan kesepakatan telah dicapai dan semua pihak bersetuju dengan agihan kerusi yang dibuat.

Menurutnya, beberapa pertindihan kerusi juga telah diselesaikan secara ‘musyawarah’ dan mereka hanya menunggu masa untuk turun ke medan ‘perang’.

"Mana-mana kerusi yang didominasi UMNO, kita letakkan calon juga dan bincang, begitu juga pertindihan kerusi yang berlaku. Kesepakatan telah dicapai, sekarang ini hanya tunggu dendang perang untuk turun ke gelanggang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang PN mengesahkan akan bertanding di kesemua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada jumlah itu, Pas akan bertanding 126 kerusi, Bersatu (83 kerusi) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sebanyak 36 kerusi.

Ditanya tentang pengumuman awal sebagai salah satu strategi PN, Idris menegaskan, PN memang sudah bersedia sepenuhnya.

"Kita adakan pertemuan beberapa kali untuk memuktamadkan pembahagian kerusi. Dalam perbincangan itu, kita tidak terhad kepada agihan sahaja tetapi strategi juga ada dibincangkan bagi mengekalkan momentum kemenangan.

"Begitu juga dengan calon, kita tampilkan calon berkualiti dan boleh menang sahaja. Jangan tanya siapa calon, itu kena tunggu semasa hari penamaan. Tapi apa yang boleh saya katakan, ia gabungan orang lama dan baharu,” ujar beliau.

Sementara itu, Idris turut membidas penggunaan ‘gelombang hijau’ yang digunakan sesetengah pihak yang dilihat merujuk konotasi negatif, sebaliknya menyatakan sokongan kepada PN akan membawa kepada ‘gelombang rakyat’.

Sementara itu, keputusan Perikatan Nasional (PN) dalam mengagihkan lebih kerusi kepada Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang itu berikutan faktor kekuatan dan prestasi yang diperlihatkan oleh parti berkenaan sebelum ini.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, berdasarkan susunan itu, dilihat Pas mungkin akan banyak bertanding untuk kawasan-kawasan Melayu di Pantai Timur yang mana parti itu lebih dominan ketika dalam Pilihan Raya Umum (PRU-15).

Mohd Azizuddin

"Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini memang kita tahu tidak beberapa kuat di sebelah (Pantai Timur) itu. Begitu juga dengan bahagian tengah, selatan.

"Cuma (Pas juga) lebih kuat di utara, sebab kalau tidak ada Pas, saya rasa tidak ada harapan untuk Bersatu berada di dalam kerajaan.

"Jadi dalam konteks ini, realiti kita lihat sekarang jelas Pas itu sebagai parti dominan dalam PN dan itu pun yang dimahukan Pas sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai peluang Gerakan dalam menarik pengundi bukan Melayu untuk menyokong PN, Mohd Azizuddin berkata, kemungkinan itu agak tipis.

Menurutnya, ia berikutan kekuatan parti Gerakan itu hanya berpotensi berada di Pulau Pinang sahaja, bukan di negeri-negeri lain.

"Sekarang ini sambutan pengundi bukan Melayu terutama kawasan-kawasan bandar yang ditandingi DAP, malah lebih cenderung menyokong DAP.

"Jadi kalau Gerakan ada peluang pun, saya rasa (peluang itu) ada di Pulau Pinang, tetapi di Pulau Pinang pun saya rasa susah nak menang sebab kawasan ditandingi itu adalah kawasan DAP yang sangat kuat,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca