SHAH ALAM - Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan satu dokumen aku janji mengikat calon-calon pilihan raya koalisi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sememangnya wujud.
Beliau berkata, ia wajib ditandatangani setiap calon yang terpilih bertanding mewakili BN di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Saya lihat keputusan mahkamah ke atas (Datuk) Zuraida (Kamaruddin) adalah sesuatu yang perlu kita lihat dari sudut positif dan wajar diambil iktibar oleh semua pihak, terutama wakil rakyat.
"Dalam konteks BN, kita mengharapkan perkara sebegini tidak berlaku kerana semangat perpaduan di antara semua wakil rakyat koalisi ini sentiasa dijaga dan dipelihara dengan baik,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar berkata, pendekatan yang diambil BN itu adalah bagus sebagai satu pengajaran kepada ahli-ahli politik agar tidak bertindak sesuka hati meninggalkan parti.
"Dalam masa sama, ini dapat memberikan kestabilan politik dalam negara apabila tiada lagi calon-calon berterusan melompat parti.
"Calon-calon harus ingat bahawa mereka menang di atas tiket parti yang diwakili dan pengundi di sana memilih mereka kerana parti tersebut. Apabila ahli politik melompat parti, mereka seolah-olah tidak menghargai rakyat yang mengundi mereka,” ujarnya.
Mengenai PKR mengenakan tindakan saman terhadap Zuraida, Mohd Sharkar berpendapat, pendekatan tersebut perlu digunakan UMNO untuk mengambil tindakan kepada pengkhianat parti.
"Dahulu, UMNO tidak ada suatu perjanjian yang diikat dengan perundangan. Namun, kes Zuraida ini telah menjadi penanda aras kepada BN mahupun mana-mana parti lain untuk membuat tuntutan terhadap calon-calon terdahulu yang pernah melompat parti.
"Pendekatan ini boleh dijadikan contoh yang baik terutamanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana kebanyakan negeri-negeri yang terlibat belum meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing bagi membolehkan Enakmen Anti Lompat Parti dilaksanakan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca