SHAH ALAM - Tidak timbul soal Pas mahu menjadi abang besar atau memonopoli Perikatan Nasional (PN) biarpun parti itu diperuntukkan jumlah kerusi paling banyak iaitu 126 daripada 245 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti. Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak timbul soal Pas mahu menjadi abang besar atau memonopoli Perikatan Nasional (PN) biarpun parti itu diperuntukkan jumlah kerusi paling banyak iaitu 126 daripada 245 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, proses pembahagian kerusi antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dimuktamadkan secara telus dan adil oleh pucuk pimpinan tertinggi PN dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kekuatan setiap parti di kerusi berkenaan.

"Malah, kita (Pas) kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan senarai nama calon yang bertanding pada PRN nanti dengan mengambil kira pelbagai pertimbangan sebelum dimuktamadkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.

Sebelum ini, media melaporkan PN memuktamadkan rundingan kerusi dan mengesahkan bertanding di semua 245 kerusi DUN pada PRN di enam negeri akan datang termasuklah 83 kerusi DUN bakal ditandingi Bersatu, Pas (126 kerusi), Gerakan (36 kerusi).

Dr Mazlan Ali

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berpandangan, Pas sememangnya wajar memperoleh jumlah kerusi lebih banyak kerana mereka adalah sebuah parti yang kuat dan mempunyai bilangan ahli akar umbi melebihi sejuta orang di seluruh Malaysia terutama di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Berikutan itu, Mazlan berkata, bukan sesuatu yang unik jika Pas memperoleh jumlah kerusi bakal ditandingi lebih banyak berbanding Bersatu dan Gerakan pada PRN nanti.

Menurutnya, ini menunjukkan Pas adalah sebuah parti yang berpengaruh dan kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dalam PRU15 adalah kerana sumbangan dan kerja keras jentera Pas.

"Justeru, semua pihak tidak boleh menafikan realiti bahawa Pas adalah sebuah parti terkuat dalam PN.

"Oleh itu, bukan sesuatu yang pelik atau aneh jika Pas memperoleh banyak kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana peluang mereka menang di negeri berkenaan adalah tinggi.

"Pas juga mempunyai peluang cerah untuk menang banyak kerusi DUN di Selangor dan bahagian Seberang Prai, Pulau Pinang pada PRN nanti,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca