KETIKA ini pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri semakin mendekat. Oleh sebab PRN akan mendominasi perbincangan ruang umum dalam tempoh mendatang, ruangan ini mengambil peluang mengupas perbincangan sepanjang PRN bermula dengan makalah hari ini dan makalah seterusnya.
Ia perlu bukan sahaja untuk mengisi perbincangan dan memperkayakan wacana tetapi pada masa sama turut mengupas isu-isu yang melatari PRN sebagai wadah pencerahan sesuai dengan falsafah ‘Telus dan Tulus’ yang didukung akhbar Sinar Harian.
Beberapa perkara yang melatari perlu difahami dari aspek status PRN pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). PRN ialah satu pilihan raya umum bagi memilih kerajaan untuk mentadbir penggal seterusnya.
Maka, ia sama penting seperti PRU15 kerana naratifnya sama, memberi peluang kepada warga di enam negeri itu memilih kerajaan yang akan mentadbir dan memakmurkan negeri dalam aspek kestabilan politik, pertumbuhan sosioekonomi serta ke-pesatan pembangunan.
Yang membezakan adalah senarionya. Apa yang berbeza? Dinamika persaingan antara pakatan parti yang berbeza kerana pada PRU14 dan PRU15, persaingan pelbagai penjuru muncul dengan pakatan politik berlainan.
Namun dari segi kemeriahan dan suasana, PRN mungkin tidak sehangat PRU15 seperti yang berlaku di Melaka, Johor dan Sabah. Dilihat faktor keletihan politik akibat rakyat penat dengan banyaknya pilihan raya dan perangai orang politik yang tidak habis berpolitik walaupun selepas pilihan raya.
Ambil kira keadaan pada PRN Melaka, Johor dan PRU15, pola keluar mengundi dapat dilihat melalui tiga fenomena. Pertama, peratusan rendah di Melaka kerana wujud kelesuan politik sama ada dalam kalangan orang baharu atau orang lama yang sudah acap kali mengundi.
Kedua, angka keluar mengundi di Johor lagi rendah walaupun per-tambahan pengundi kerana Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik (AVR) menambah jumlah pengundi tetapi ramai tidak mengundi sebab mereka memang tidak cakna serta peduli tentang politik.
Justeru, pada PRN kali ini kita khuatir wujud kelompok silent minority yang reaksionari sifatnya. Walaupun mereka faham bahawa ada sesuatu yang harus dilakukan dan perlu bersuara tetapi mereka jadi malas kerana tidak percaya dengan ruang serta institusi pilihan raya mampu menjadi mekanisme ampuh untuk menyelesaikannya.
Mereka lantas memilih untuk diam dan malas mengundi, sekali gus membunuh hasrat PRN menjadi mekanisme responsif selaras matlamat menyuburkan demokrasi melalui penyertaan aktif warga.
Diperhatikan trend PRN-PRK (pilihan raya kecil) memang akan mencatatkan peratusan keluar mengundi rendah kerana kelompok yang keluar mengundi biasanya terdiri daripada pengundi tegar dan menetap di kawasan.
Mereka yang tinggal di luar kawasan tidak berminat pulang mengundi disebabkan pertimbangan kos, jarak, masa dan kesusahan lain. Jika alasan itu jadi pertimbangan, penyelesaiannya jelas iaitu permudahkan pengundi dengan membolehkan mereka mengundi tanpa perlu hadir atau balik ke kawasan.
Bagaimana melakukannya? Ada beberapa pertimbangan. Pertama memperluaskan fungsi undi pos dengan melakukan pindaan terhadap Peraturan 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 berbanding sekarang.
Kedua, mengkaji mekanisme undi secara maya dengan mempertingkatkan proses digitalisasi dan terakhir, melakukan reformasi institusi pilihan raya dengan mempertimbangkan Akta Parlimen Berpenggal Tetap (APBT) yang membolehkan pembubaran Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya dilakukan apabila penggalnya tamat bagi menjimatkan kos mengadakan pilihan raya yang tidak dirancang atau di luar jangka.
Persoalannya, kalau PRN berasingan seperti ini muncul lagi, apakah wajar ia disekalikan kembali seperti dahulu atau kekal asing sekiranya APBT dilaksanakan? Jika pertimbangan kos, maka bagus serentak bagi memudahkan pengundi dan SPR.
Jika pertimbangan demokrasi dan pendemokrasian, bagus diasingkan sebab ia boleh menjadi mekanisme ‘semak imbang’ ala Pilihan Raya Pertengahan Penggal bagi menjadikan kerajaan pusat lebih responsif dengan apa juga keputusan PRN. Namun, perkara itu hanya boleh berlaku dengan mewujudkan APBT.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca