MASIH belum terlambat rasanya untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang telah mendapat keputusan masing-masing pada 8 Jun lalu. Lumrah hidup, pelajar yang mendapat keputusan... Klik di sini untuk terus membaca

MASIH belum terlambat rasanya untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang telah mendapat keputusan masing-masing pada 8 Jun lalu.

Lumrah hidup, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dan memperoleh banyak A menjadi tum-puan utama media serta orang ramai.

Keputusan SPM kali ini merekodkan lebih 10,000 pelajar mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran. Angka tersebut adalah 2.7 peratus daripada jumlah besar calon-calon yang mengambil peperiksaan SPM.

Secara keseluruhan, mengikut perangkaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), seramai 91.6 peratus calon SPM layak menerima sijil daripada 373,974 calon yang telah hadir dan menduduki peperiksaan.

Hari keputusan SPM diumumkan bukan sekadar hari bersejarah buat pelajar dan keluarga masing-masing meraikan kejayaan, malah media juga dilihat sibuk membuat liputan kisah-kisah pelajar yang cemerlang.

Media turut melaporkan kisah-kisah ‘sayu’ di sebalik kejayaan luar biasa diraih beberapa pelajar cemerlang yang berusaha gigih mengatasi pelbagai kesusahan dalam hidup demi mencapai keputusan cemerlang di arena peperiksaan.

Turut menarik perhatian orang ramai ialah kisah menyayat hati pelajar cemerlang menitiskan air mata kegembiraan mereka di sisi kubur ahli keluarga tersayang yang tidak sempat menyaksikan kejayaan tersebut.

Warna-warni hari keputusan SPM diumumkan selalunya memberi pelbagai iktibar kepada masyarakat peri pentingnya untuk terus bekerja keras demi menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bagaimanapun, di sebalik kemeria-han meraikan kejayaan, jangan pula kita terlepas pandang isu-isu lain yang turut menuntut keprihatinan pihak kerajaan dan masyarakat iaitu kegagalan seramai 70,000 calon memperoleh sijil, sekali gus ‘membenamkan’ laluan mereka untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Daripada jumlah yang tidak layak mendapat sijil tersebut, hampir 15,000 calon tidak hadir untuk menduduki peperiksaan. Kita hanya mampu mendoakan agar 70,000 pelajar yang tercicir daripada arus perdana pendidikan negara akan terus memperoleh kejayaan dalam hidup mereka di medan per-saingan yang lain.

Semoga hala tuju yang mereka pilih selepas peperiksaan SPM adalah kehidupan yang membawa impak positif.

Sesungguhnya kita mengharapkan mereka terus memainkan peranan sebagai insan yang aktif, produktif dan berwibawa, bukannya mensia-siakan usia muda dengan aktiviti tidak sihat atau terlibat dalam jenayah.

Ingatlah, SPM bukan penghujung jalan hidup. Ia umpama salah satu hentian rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya. Perjalanan masih jauh dan satu kegagalan sahaja tidak harus menjadi tembok penghalang kepada segala cita-cita dan wawasan.

Dalam pada itu, satu lagi isu berkaitan SPM yang menjadi perhatian media dan pakar pendidikan ialah kemerosotan mendadak pencapaian subjek Matematik.

Menurut satu laporan dalam akhbar Sin Chew Daily baru-baru ini, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad telah melahirkan kebimbangan – antara subjek paling ramai calon gagal ialah Matematik Moden dan Matematik Tambahan.

Persoalan yang beliau timbulkan amat kritis iaitu bagaimana Malaysia yang mempunyai kumpulan pekerja lemah dalam Matematik dapat mencapai status negara maju sedangkan Matematik adalah bahasa asas kepada ilmu sains serta teknologi.

Kegagalan untuk merungkai kemusykilan itu akan membawa kepada kegagalan lebih dahsyat pada masa akan datang.

* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.

Klik di sini untuk terus membaca