SEJAK merdeka sehingga kini, Malaysia sudah mempunyai seramai 10 orang perdana menteri yang menerajui kepimpinan negara. Masing-masing diberikan gelaran istimewa berdasarkan kejayaan semasa era pentadbiran mereka. Antaranya Perdana Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK merdeka sehingga kini, Malaysia sudah mempunyai seramai 10 orang perdana menteri yang menerajui kepimpinan negara. Masing-masing diberikan gelaran istimewa berdasarkan kejayaan semasa era pentadbiran mereka.

Antaranya Perdana Menteri pertama iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai Bapa Pembangunan.

Perdana Menteri ketiga iaitu Allahyarham Tun Hussein Onn dikenali sebagai Bapa Perpaduan dan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri keempat sebagai Bapa Pemodenan.

Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Perdana Menteri kelima digelar sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan dan Perdana Menteri keenam iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak pula dikenali sebagai Bapa Transformasi.

Bagaimanapun, perdana menteri yang seterusnya hanya berpeluang memegang tampuk pemerintahan yang singkat sehingga rakyat tidak dapat merasai kejayaan agenda mereka.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil dengan slogan Kerajaan Prihatin, sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula membawa naratif Keluarga Malaysia dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Malaysia Madani.

Dari segi usia pentadbiran dalam kerajaan, Dr Mahathir berpeluang menikmati tempoh pemerintahan yang cukup lama iaitu 22 tahun ketika menjadi Perdana Menteri keempat dan 22 bulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Muhyiddin hanya berpeluang untuk mentadbir selama 13 bulan dan Ismail Sabri pula 16 bulan, sementara pentadbiran Anwar baru sahaja berusia lapan bulan selepas berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun lalu.

Bagaimanapun, sudah ada beberapa pihak yang membuat perbandingan dengan perdana menteri yang pernah dan sedang memerintah negara.

Mereka memuji era pemerintahan Najib yang berjalan selama sembilan tahun itu. Menurut mereka, ia adalah kerajaan yang paling terbaik dalam sejarah negara walaupun beliau terpalit dengan kontroversi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tinggal legasi

Antara legasi terbesar Najib yang diteruskan oleh perdana menteri yang lain ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M. Ia merupakan pemberian tunai secara terus kepada rakyat yang memerlukan.

Selain itu, Najib turut memperkenalkan Pusat Transformasi Bandar atau UTC yang memberikan kemudahan kepada rakyat mendapatkan khidmat daripada agensi kerajaan di lokasi khas.

Berdasarkan laporan daripada UMNO Online yang memetik senarai daripada sebuah blog iaitu pakdin.my, terdapat 180 projek dan program berimpak tinggi yang berjaya dilaksanakan termasuk Projek Jajaran Rel Pantai Timur (ECRL).

Difahamkan Najib ketika pentadbirannya mempunyai pasukan penasihat yang terbaik untuk membantu beliau mengilhamkan program dan projek yang dapat memikat hati rakyat. Namun ini yang tidak dapat dinikmati oleh penyandang-penyandang jawatan seterusnya kerana tempoh pentadbiran yang amat singkat.

Sebaliknya, Najib tidak berdepan banyak masalah ketika zaman pentadbirannya dan membolehkan beliau melaksanakan agenda pembangunan negara tanpa banyak gangguan.

Berbanding dengan Muhyiddin, Ismail Sabri dan Anwar, ketiga-tiga mereka berada di era paling mencabar dalam sejarah negara iaitu krisis kesihatan, ekonomi serta politik termasuk perang Ukraine dan Rusia. Lebih parah, ketiga-tiga masalah itu datang serentak.

Bukan sahaja Malaysia tetapi seluruh dunia sedang bergelut untuk keluar daripada krisis berganda yang tidak pernah terbayang berlaku dalam sejarah dunia moden pada hari ini.

Jadi, untuk membandingkan pentadbiran Najib dengan tiga kerajaan pasca Covid-19 adalah amat tidak adil kerana cabaran yang mereka lalui itu terlalu berat untuk mana-mana pemimpin hadapi.

Sebaiknya berilah peluang kepada kerajaan yang ada pada hari ini mencari jalan untuk memulihkan ekonomi negara dan dapat menyejahterakan kembali kehidupan rakyat.

Namun, pada masa sama, kerajaan juga jangan mengambil waktu terlalu lama dan perlu menjelaskan mengenai langkah-langkah akan diambil supaya dapat mengurangkan keresahan dalam kalangan rakyat dengan segera.

* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca