KITA sambung perbincangan kolum terakhir tentang hala tuju UMNO 3.0 yang telah kecundang dua pilihan raya umum, 2018 dan 2022 serta sama ada akan wujud UMNO 4.0 yang boleh bangkit daripada kelesuan badan dan kebuntuan jalan. Dapatkah UMNO... Klik di sini untuk terus membaca

KITA sambung perbincangan kolum terakhir tentang hala tuju UMNO 3.0 yang telah kecundang dua pilihan raya umum, 2018 dan 2022 serta sama ada akan wujud UMNO 4.0 yang boleh bangkit daripada kelesuan badan dan kebuntuan jalan.

Dapatkah UMNO terima realiti baharu bahawa ia perlu membina daya saing yang melibatkan pelbagai parti dan bukan cuba merampas balik dominasi yang sudah ditinggalkan UMNO selama-lamanya.

Hakikatnya, selagi Pakatan Harapan (PH) berkuasa, ia tidak akan membenarkan UMNO merampas dominasinya. Jika Perikatan Nasional (PN) berjaya kembali berkuasa, dominasi akan menjadi milik Pas dan Bersatu akan cuba ‘menelan’ UMNO demi mengimbangi kuasa Pas.



Pertama, UMNO perlu memperjuangkan pendanaan awam untuk parti.

Tanpa dominasi, UMNO jangan harapkan ramai dermawan yang bermurah hati. Dengan dana awam berasaskan peratusan undi, setiap undi untuk UMNO/Barisan Nasional (BN) akan membawa dana untuk parti lebih giat beroperasi.

Kedua, UMNO perlu memperjuangkan reformasi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar lebih ramai bakat pemimpin yang belum berpeluang menjadi menteri atau ahli Exco dapat ditonjolkan atau ditajamkan kemahiran mereka.

UMNO perlu bersaing lebih dalam dasar dan kurangkan pergantungan kepada naungan serta imbuhan yang semakin kekeringan. Parlimen dan DUN adalah arena yang perlu dimanfaatkan.

BN ada 30 ahli Parlimen, setelah menolak empat orang menteri (dua orang lagi senator) dan enam timbalan menteri (termasuk seorang daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah), terdapat 20 ahli Parlimen barisan belakang kerajaan (government backbenchers).

Kesemua 20 orang itu seharusnya aktif dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan juga Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC). Malangnya, BN cuma letakkan 11 orang sahaja dalam JPKP dan PAC.

Seramai sembilan orang (tujuh orang daripada UMNO) termasuk Naib Presiden dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang cuma duduk dalam Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

UMNO seharusnya menuntut penubuhan lebih banyak JPKP atau membanyakkan ahli setiap JPKP untuk melatih dan menonjolkan bakat-bakatnya.

Ketiga, UMNO perlu memperjuangkan kewujudan kerusi-kerusi senarai parti berkadar (parti list proportional representation), di samping 222 kerusi kawasan First-Past-The-Post (FPTP) sedia ada.

Dengan kerusi senarai parti, setiap kawasan (boleh jadi setiap negeri satu kawasan) mempunyai beberapa sehingga berpuluh kerusi dan setiap parti boleh mengemukakan senarai calon untuk kesemua kerusi, dan akhirnya kerusi akan diagih-agihkan antara parti-parti yang bersaing.

Itu bermakna pengundi akan ada dua undi pada PRU, satu untuk wakil kawasan FPTP sedia ada dan satu bagi memilih parti secara langsung. Ia membolehkan UMNO/BN bersaing dengan PH sekalipun mereka tetap membahagi-bahagikan kerusi untuk kawasan FPTP.

Akhirnya, UMNO perlu memperjuangkan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur (seperti apa yang dicadangkan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar) dan Dewan Undangan Wilayah Persekutuan serta Majlis-majlis Perbandaran dan Daerah.

Jika pilihan raya tempatan dahulu merugikan UMNO ketika ia mendominasi, kini ia jalan keluar untuk bertapak semula di negeri-negeri dominasi PH dan PN.

Takkan UMNO mahu merayu PH untuk berikan pelantikan ahli-ahli majlis sebagaimana MCA, MIC dan Gerakan dahulu merayu UMNO?

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca