SHAH ALAM - Sukar untuk membuat kesimpulan umum bahawa gelombang hijau adalah suara majoriti rakyat yang tidak berpuas hati kepada pimpinan kerajaan masa kini.
Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian berkata, penggunaan perkataan ‘gelombang hijau’ itu sebaliknya dikaitkan sebagai pola pengundian dalam kalangan pengundi Melayu yang menyokong Perikatan Nasional (PN).
"Sebab itu ia dinamakan gelombang hijau oleh Pas. Untuk membuat kesimpulan umum seolah-olah frasa itu adalah rasa tidak puas hati majoriti (rakyat), saya rasa sukar untuk kita takrifkan memandangkan yang bukan Melayu masih lagi bersama dengan Pakatan harapan (PH).
"Mungkin ada sebahagian yang masih ada rasa tidak berpuas hati, tetapi gelombang hijau ini dikaitkan dengan pola pengundian dalam kalangan Melayu di mana seolah-olah wujud satu pemisahan ketara yang bukan Melayu masih menyokong PH manakala, yang Melayu masih menyokong PN,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Rabu, Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan bahawa sokongan rakyat terhadap PN bukan disebabkan oleh faktor agama dan bangsa tetapi hakikatnya adalah kerana ketidakstabilan negara kini.
Menurut Sivamurugan, perkataan ‘gelombang hijau’ dengan merujuk sokongan rakyat terhadap PN dilihat ditimbulkan sesetengah pihak dengan konotasi negatif.
Katanya, perkataan itu digambarkan dengan maksud tersirat yang mencerminkan bahawa wujudnya propaganda ekstremis.
Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, tindakan sesetengah pihak melabel perkataan ‘ekstremis’ kepada Pas adalah tidak wajar memandangkan parti berkenaan telah mengemukakan banyak perubahan dari segi penstrukturannya seperti ‘Pas for all’ dan ‘Pas negara kebajikan’.
Menurutnya, Pas juga cuba membawa nilai-nilai sederhana dalam aspek penonjolan Islam dalam parti itu sendiri."Penjenamaan, label atau ‘stereotyping’ dalam politik itu penting untuk mengurus krisis ke atas persepsi pengundi.
"Jadi yang menyokong sudah pastilah kata mereka tidak ekstrem, dan yang tidak menyokong pasti cuba mengaitkan dengan istilah yang diguna pakai sebelum ini terhadap Pas,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca