SHAH ALAM - Kelantangan beberapa pemimpin UMNO menegur kerajaan sejak kebelakangan ini dilihat lebih bersifat kepartian, bukan disebabkan kegagalan menunjukkan prestasi yang baik.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, ia terbukti apabila kritikan itu hanya ditimbulkan oleh pemimpin yang diketahui terdiri daripada kem tertentu dalam parti tersebut.
"Kalau kita lihat UMNO kini berdepan dengan pelbagai isu khususnya apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, mereka telah menjadi parti ketiga dan berada di belakang Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Mungkin ini (kritikan kepada kerajaan) juga menjadi pertimbangan untuk pemimpin-pemimpin UMNO bagi membangkitkan keghairahan kembali kepada parti itu untuk akar umbi dan juga pengundi atas pagar yang terdiri daripada orang Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa kelantangan beberapa pemimpin partinya menegur kerajaan sejak kebelakangan ini adalah hak sebagai seorang rakyat.
Katanya, kritikan yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan juga perlu didengari Kerajaan Perpaduan hari ini.
Dalam pada itu, Mujibu turut menegaskan bahawa tindakan tidak sebulu yang ditunjukkan pemimpin UMNO berkenaan juga turut memberi persepsi negatif bukan sahaja kepada kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi juga parti tersebut.
Ini kerana katanya, UMNO juga merupakan sebahagian daripada kerajaan dan kritikan yang dibuat tersebut bakal memberi tempias kepada mereka.
"Memang mengkritik itu adalah hak rakyat tetapi sebagai sebuah pakatan atau sahabat, tindakan-tindakan sebegini tidak baik kerana musuh sebenar adalah parti lawan, ditambah pula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir ketika ini.
"Sebagai rakan parti, mereka seharusnya mencipta naratif yang menggambarkan tentang keserasian dan bagaimana boleh menjadi sebuah pakatan yang meyakinkan,” jelasnya.
Mujibu dalam masa sama turut tidak bersetuju dengan desakan agar kerajaan perlu ditukar sekiranya gagal menunjukkan prestasi baik, sebaliknya ruang sepenuhnya perlu diberikan untuk pimpinan negara memajukan Malaysia ke tahap terbaik.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad di Facebook pada Khamis mengkritik Kerajaan Perpaduan yang didakwanya tidak cekap dalam pengendalian urus tadbir negara.
Beliau berkata, ketika menjadi pembangkang, ada parti yang sering mempertikaikan kerajaan tetapi apabila sudah menjadi kerajaan, tidak membuat kerja dengan baik.
Klik di sini untuk terus membaca