ISU kekurangan bekalan gula ketika musim perayaan Aidilfitri yang lalu mendorong kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Op Manis. Bermula di Kelantan, kekurangan bekalan gula... Klik di sini untuk terus membaca

ISU kekurangan bekalan gula ketika musim perayaan Aidilfitri yang lalu mendorong kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Op Manis.

Bermula di Kelantan, kekurangan bekalan gula seolah-olah menjadi wabak yang kemudiannya merebak ke Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan akhirnya ke seluruh negara.

Dengan kekuatan 2,000 anggota penguat kuasa dan 1,000 pegawai pemantau harga, KPDN mengerah tenaga, menggembleng usaha bagi memastikan bekalan komoditi itu pulih.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN bersama jurukamera, ROSLI TALIB menemubual Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam di pejabatnya baru-baru ini.

SINAR AHAD: Boleh Datuk terangkan mengenai fokus Op Manis yang dijalankan KPDN?

AZMAN: Penguatkuasaan operasi bersepadu Op Manis merupakan salah satu kawalan di peringkat kementerian bagi mengenal pasti punca dan solusi dalam menangani isu kekurangan bekalan gula.

Pelaksanaan penguatkuasaan Op Manis adalah secara serampang dua mata bagi memulihkan gangguan bekalan gula di setiap lapisan rantaian pembekalan, memastikan tidak berlaku pembelian panik, pematuhan undang-undang, pemantauan ke atas keberadaan inventori stok penimbal gula di kilang atau gudang penyimpanan serta memastikan tiada isu penyeludupan gula ke negara jiran.

KPDN telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu kekurangan bekalan gula pada 3 Mei lalu. Sehubungan itu, pelaksanaan operasi bersepadu Op Manis telah dilancarkan bermula 3 hingga 9 Mei.

Pada 10 Mei, pasukan petugas khas telah menerima arahan bahawa Op Manis perlu dilanjutkan sehingga tujuh hari lagi iaitu sehingga 16 Mei dengan penglibatan satu lagi negeri iaitu Pahang sementara pada 15 Mei, Kedah pula telah dimasukkan di dalam senarai pemantauan.

Kemudian, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan bahawa kementerian akan melanjutkan pelaksanaan Op Manis 2.0 sehingga 30 Jun ini di seluruh negara bagi memastikan bekalan dan pengedaran gula stabil bagi kegunaan rakyat.

Azman (dua dari kanan) semasa meninjau bekalan gula putih menerusi Op Manis di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.
Azman (dua dari kanan) semasa meninjau bekalan gula putih menerusi Op Manis di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.
Azman (dua dari kanan) semasa meninjau bekalan gula putih menerusi Op Manis di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.
Azman (dua dari kanan) semasa meninjau bekalan gula putih menerusi Op Manis di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.
Azman (dua dari kanan) semasa meninjau bekalan gula putih menerusi Op Manis di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.
Azman (dua dari kanan) semasa meninjau bekalan gula putih menerusi Op Manis di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.
Azman (dua dari kanan) semasa meninjau bekalan gula putih menerusi Op Manis di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.

Apakah punca sebenar kekurangan bekalan gula?

Semasa isu kekurangan bekalan gula ini mula hangat, ketika itu rakyat masih lagi menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan berlaku permintaan yang tinggi di kedua-dua negeri tersebut (Kelantan dan Terengganu).

Selain itu, cuti hari raya juga menyebabkan pengedaran dan penghantaran bekalan bahan terbabit sedikit lewat atau tidak mengikut jadual penghantaran.

Ia sekali gus menyebabkan berlaku gangguan ke atas bekalan gula. Namun, setelah Op Manis ini dilancarkan kita dapat lihat perubahan positif dan bekalan gula kembali stabil di beberapa kawasan yang mengalami gangguan.

Adakah kementerian memantau pengeluaran gula oleh pengeluar?

Kementerian melalui bahagian penguat kuasa juga memantau rapi pengeluaran oleh dua syarikat pengeluar gula utama dalam negara iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) serta melaksanakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan bagi memastikan isu gangguan bekalan gula ini dapat diuruskan dengan baik.

Dalam Op Manis ini, satu perkara yang telah kami lakukan adalah untuk memastikan kesinambungan bekalan itu.

Kami telah mengeluarkan arahan pengawal di mana bermula 1 Jun, kedua-dua syarikat gula telah dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 42,000 tan metrik atau 42 juta kilogram bekalan sebulan untuk diedarkan ke seluruh negara.

Kita juga telah melaksanakan pemantauan di seluruh negara melalui pengedar pemborong terpilih (DDW) dan pengedar peruncit terpilih (DDR) yang dilantik dalam lokaliti tertentu bagi memastikan bekalan barangan keperluan termasuklah gula sentiasa stabil.

Berapa jumlah premis diperiksa dan adakah notis serta kompaun telah dikeluarkan terhadap mereka yang terbabit?

Berdasarkan statistik pelaksanaan Op Manis bermula 3 Mei sehingga 11 Jun, sebanyak 3,448 premis telah diperiksa di seluruh negara.

Sebanyak 71 aduan juga telah diterima sepanjang tempoh pelaksanaannya dan daripada jumlah itu, 14 tindakan kes telah diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan kesalahan.

Tujuh daripada kes itu didapati mengenakan penjualan bersyarat dan lima kes menjual melebihi daripada harga yang telah ditetapkan. Manakala baki dua kes, satu kes adalah kerana kesalahan membungkus gula tanpa kebenaran pengawal bekalan dan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga. Kes ini sedang dalam proses tindakan.

Saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi menegaskan bahawa kementerian akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kesalahan akta berkaitan gula. Ini termasuklah tindakan menggantung dan membatalkan lesen serta menyenarai hitam peniaga terlibat.

Azman
Azman
Azman
Azman
Azman
Azman
Azman
Azman

Baru-baru ini menteri KPDN mengumumkan kebenaran pengeluar gula putih bertapis jernih sebagai pilihan kepada pengguna dalam pasaran. Adakah ini sekali gus akan menggantikan gula sedia ada?

Pertama sekali pengguna perlu faham bahawa gula pasir bertapis kasar dan halus yang dijual di pasaran ketika ini iaitu masing-masing RM2.85 dan RM2.95 sekilogram dikawal harganya di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan tiada subsidi diperuntukkan.

Dalam situasi ekonomi negara yang semakin mencabar malah turut dirasai di peringkat global dengan kenaikan kos bahan mentah dan operasi lain telah memberikan cabaran kepada pengeluar untuk mengekalkan harga jualan runcit bagi gula jenis bertapis kasar dan halus itu ketika ini.

Dua syarikat pengeluar utama gula dalam negara kita adalah MSM dan CSR. Sehubungan itu, kerajaan sudah tentu kekal komited untuk sentiasa memastikan rakyat tidak akan terbeban dengan situasi semasa ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pengenalan gula putih bertapis jernih ini bukanlah menggantikan sepenuhnya gula putih bertapis kasar dan halus yang dikawal harga oleh kerajaan, sebaliknya ia adalah satu pilihan kepada pengguna dalam pasaran.

Kerajaan juga telah memberi arahan kepada MSM dan CSR untuk terus mengeluarkan gula putih bertapis sedia ada iaitu kasar dan halus pada kuantiti semasa yang mencukupi untuk pasaran runcit mengikut harga dikawal oleh kerajaan.

Tujuan kerajaan membenarkan pengeluaran gula putih bertapis jernih ini adalah untuk memastikan pengeluar gula ini untuk kekal berdaya saing dan dapat mengimbangi kos operasi yang ditanggung demi kelestarian perniagaan mereka.

Kebenaran untuk penjualan gula putih bertapis jernih telah bermula pada 25 Mei.

Syarikat pengeluar gula boleh diambil tindakan jika tidak mengeluarkan bekalan gula putih bertapis sedia ada yang mencukupi di pasaran. Begitu juga kepada mana-mana pemborong dan peruncit yang mengenakan pembelian bersyarat atau tidak menjual gula putih bertapis sedia ada kepada pelanggannya.

Tuan Buqhairah (kanan) menemubual Azman di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Tuan Buqhairah (kanan) menemubual Azman di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Tuan Buqhairah (kanan) menemubual Azman di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Tuan Buqhairah (kanan) menemubual Azman di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Apakah pesanan daripada pihak kementerian berhubung isu gula ini supaya tidak lagi menimbulkan suasana panik?

Pengguna di luar sana diharap kekal tenang dan jangan melakukan pembelian panik atau dalam kuantiti yang luar daripada kebiasaan penggunaan harian pengguna itu sendiri kerana ia boleh menyebabkan gangguan lebih buruk ke atas rantaian.

KPDN dengan kerjasama syarikat pengeluar gula tempatan secara berterusan mengambil tindakan dan inisiatif dalam membantu mempercepatkan pengedaran bekalan dari peringkat kilang kepada pemborong dan rantaian sehingga ke peringkat pengguna akhir.

Gula memang menjadi keperluan kepada semua tetapi jika diambil secara berlebihan akan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan pengguna.

Oleh itu, berhemahlah menggunakan gula dalam kehidupan seharian supaya kita dapat terhindar daripada penyakit seperti kencing manis dan sebagainya sebagaimana saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Peniaga juga disarankan untuk terus sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan kerajaan.

Jangan menjual melebihi harga kawalan yang telah ditetapkan dan meletakkan apa-apa syarat pembelian ke atas barang kawalan terutamanya gula bertapis kasar dan halus kerana ia adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Klik di sini untuk terus membaca