MALAM Wartawan Malaysia 2023 sudah dua minggu berlalu. Tetamu kehormat majlis tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) pada 9 Jun lalu itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir memeriahkan MWM 2023 ialah... Klik di sini untuk terus membaca

MALAM Wartawan Malaysia 2023 sudah dua minggu berlalu. Tetamu kehormat majlis tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) pada 9 Jun lalu itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir memeriahkan MWM 2023 ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Liza Mustapha, Naib Presiden Eksekutif Petronas selaku penaja Hadiah Kewartawanan Malaysia 2022 yang disampaikan pada malam tersebut.

Selaku tuan rumah, saya mewakili MPI menyambut kedatangan Anwar dan tentunya berpeluang duduk bersebelahan Perdana Menteri di meja utama sewaktu majlis berlangsung.

Dalam masa dua jam itu, tentulah banyak saya dan Perdana Menteri bualkan. Tidak hairanlah apabila ada sahabat tidak henti-henti menghubungi saya bertanya isu-isu yang saya timbulkan dalam perbualan itu.

Ada yang menduga saya menggunakan peluang itu untuk mengorek cerita-cerita tersirat di sebalik perkembangan politik setelah terbentuknya Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Terutama kejayaan beliau membawa UMNO dan DAP bekerjasama dalam sebuah Kerajaan Madani dan keupayaan beliau mengekalkan pemerintahannya untuk tempoh lima tahun sehingga PRU akan datang.

Ada juga yang menyangka saya banyak bertanya tentang dasar-dasar dan hala tuju negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang kestabilannya masih dipersoalkan sesetengah pihak.

Ini kerana parti yang beliau pimpin tidak mempunyai majoriti mencukupi untuk mentadbir Malaysia sendirian, tetapi untuk kekal berkuasa bergantung kepada sokongan parti-parti lain yang berkemungkinan berpaling tadah pada bila-bila masa.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Voice, Datuk Dr Jeniri Amir dan Ketua Editor Utusan Borneo Sabah, Lichong Angkui yang menjadi tetamu MWM 2023 adalah antara yang pertama bertanyakan saya apakah isu-isu negara yang saya bualkan dengan PMX apabila kami bersarapan di hotel mereka menginap sehari selepas MWM 2023 diadakan.

"Banyaklah agaknya cerita-cerita dalaman politik kita yang Datuk ajukan kepada PM,” kata Jeniri memulakan perbualan.

Lichong juga meminta saya kongsikan perkara-perkara yang saya bualkan dengan Perdana Menteri.

"Sekurang-kurangnya maklumat-maklumat yang Datuk beritahu akan membantu saya menghasilkan ulasan-ulasan politik dari perspektif yang wartawan lain tidak ada,” katanya.

Saya memberitahu mereka, sama seperti saya memberitahu para sahabat lain bahawa saya tidak bertanyakan soalan-soalan politik serius kepada Perdana Menteri pada malam tersebut. Malah dasar-dasar yang diperkenalkan Kerajaan Madani juga tidak saya timbulkan.

Perkara serius yang menjadi perbualan kami ialah mengenai peranan wartawan sebagai intelektual masyarakat yang kemudian beliau huraikan secara agak panjang lebar dalam ucapan disampaikan.

Beliau mahu wartawan bukan sekadar menjadi perakam pelbagai peristiwa, tetapi pencetus idea untuk membangunkan negara berteraskan nilai mulia.

Selebihnya pada malam tersebut kami berbual santai mengenai isu-isu biasa dalam kehidupan – antara lain tentang kesihatan diri, lagu-lagu kegemaran beliau serta serba ringkas saya juga bertanyakan beliau bagaimana beliau mengatasi kebosanan hidup di dalam penjara.

Tentang kesihatan beliau bertanyakan sama ada saya mempunyai masalah penyakit tertentu yang agak serius.

Saya memberitahu saya seorang pesakit kencing manis dan apabila pencuci mulut dihidangkan, beliau mengingatkan saya supaya jangan sentuh manisan diberi.

Katanya: "Manis sangat, tak sesuai untuk orang diabetik.”

Saya bertanya balik mengenai keadaan kesihatan beliau dan beliau memberitahu: "Alhamdulilah saya tiada masalah kesihatan. Cuma masa untuk melakukan senaman sudah berkurangan kerana soal kerja.”

Pada malam itu, Anwar mengesahkan beliau adalah peminat lagu-lagu Melayu klasik. Malah, saya dan tetamu lain perhatikan beliau cukup terhibur dengan lagu Madah Pujangga.

Beliau memberitahu: "Saya adalah peminat penyanyi asal lagu ini iaitu S Effendi. Saya pernah bertemu S Effendi sewaktu saya belajar di Universiti Malaya.”

Lagu Tari Tualang Tiga yang didendangkan Dayang Nur Faezah juga satu lagi lagu kegemaran Anwar. Beliau tahu ‘penyanyi asal lagu ini ialah Saloma’.

Cara beliau menghilangkan kebosanan hidup di dalam penjara adalah dengan membaca buku dan kitab suci al-Quran serta menyanyi lagu-lagu Melayu asli yang menjadi kegemarannya.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Klik di sini untuk terus membaca