PADA Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa langkah bagi merangsang pasaran saham dan mengukuhkan mata wang ringgit.
Antara lain, beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pengurangan kadar duti setem ke atas jual beli saham di Bursa Malaysia, menggalakkan kegiatan korporat dan melonggarkan proses penyenaraian saham.
Tujuannya bagi memperkukuhkan pasaran modal dan mewujudkan lebih banyak kekayaan untuk rakyat jelata.
Duti setem ke atas saham yang diniagakan di Bursa Malaysia akan dikurangkan kepada 0.10 peratus nilai kontrak mulai Julai daripada 0.15 peratus, tertakluk kepada maksimum RM1,000 setiap kontrak.
Dalam konteks pasaran modal antarabangsa, langkah mengurangkan kos urus niaga saham ini bukanlah perkara baharu. Malah, sudah ada bursa saham yang mula mengurangkan komisen jual beli saham seperti Amerika dan Hong Kong.
Jadi, mengurangkan duti setem bolehlah dilihat sebagai awalan kepada pengurangan kos perniagaan keseluruhannya.
Boleh jadi langkah-langkah yang dicadangkan itu belum memadai oleh sebab sudah terlalu lama perniagaan di Bursa Malaysia dibiarkan begitu saja tanpa sebarang usaha besar bagi merangsangkannya.
Kalau kita kaji pergerakan indeks utamanya iaitu Financial Times Stock Exchange Bursa Malaysia KLCI, kita dapati yang Bursa Malaysia mula jatuh sejak Julai 2014 lagi. Maksudnya, ia sudah sembilan tahun setelah naik secara berperingkat mulai tahun 1994.
Pada 14 Julai 2014, indeks KLCI dicatatkan pada paras 1,871.36 mata berbanding 1,394.67 pada 22 Jun lalu.
Menurut laporan Suruhanjaya Sekuriti (SC), tahun lalu pasaran modal Malaysia bernilai RM3.6 trilion berbanding RM3.5 trilion pada tahun 2021.
Jumlah modal baharu yang dikumpul meningkat kepada RM179.4 bilion tahun lalu berbanding RM131.3 bilion pada tahun 2021.
Daripada jumlah itu, RM26 bilion diperoleh melalui pasaran saham dan RM153.3 bilion melalui pasaran bon dan sukuk.
Seperkara lagi yang membimbangkan ialah penarikan keluar modal asing dari Bursa Malaysia.
Mengikut kajian MIDF Research, sepanjang enam bulan tahun ini, pengaliran keluar modal asing berjumlah RM3.66 bilion.
Pada 19 Jun lalu, media massa melaporkan yang pelabur asing kekal sebagai penjual bersih kesembilan minggu berturut-turut dengan pengaliran keluar bersih RM189.4 juta berbanding RM443.8 juta pada minggu sebelumnya.
Adalah diharapkan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri itu akan meyakinkan penggiat pasaran kerana sebelum ini tanggapan pasaran terhadap pengurusan ekonomi dan kewangan agak negatif.
Misalnya, badan pemikir pasaran, Centre for Market Education berpendapat, ringgit menghadapi masalah yang pelbagai tetapi tumpuan pengurusannya menjurus ke arah pengawalan inflasi sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Carmelo Ferlito dilaporkan berkata, ringgit dijangka terus lemah disebabkan tiga perkara.
Pertama, strategi ekonomi kurang jelas dan tidak komprehensif. Kedua, kerajaan sekadar menangani apa yang kelihatan dan ketiga, ketidakadaan kepimpinan ekonomi yang kukuh.
Selepas lima hari kerajaan mengumumkan pakej rangsangan, pasaran saham dan mata wang belum memberi reaksi yang jelas.
Bursa Malaysia mengakhiri sesi perniagaan mingguan pada petang Jumaat di paras 1,390.89 mata berbanding 1,380.43 mata, iaitu paras paling rendah pada hari Isnin. Paras tertinggi yang dicapai ialah 1,401.52 mata pada pagi Khamis.
Kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika bagaimanapun merosot daripada paras terbaik RM4.60 pada Isnin kepada RM4.67 pada penutupan pasaran petang Jumaat. Ini adalah kadar paling rendah sepanjang tahun ini.
Pasaran mata wang dan pasaran modal adalah dua petunjuk segera dan utama sama ada pedagang dan pelaburan percaya atau tidak kepada pengurusan ekonomi sesebuah negara.
Nampaknya pedagang dan pelaburan masih belum yakin dengan langkah-langkah yang dilakukan setakat ini.
Atas sebab inilah kerajaan perlu berunding dan berdialog terus dengan mereka dan bukan melalui pidato atau laporan media massa semata-mata.
Saya amat yakin yang tabung-tabung pelaburan serta agensi-agensi penarafan antarabangsa sudah biasa dengan Anwar sebagai pemidato dan pemikir.
Yang mereka hendak kenal sekarang ialah Anwar sebagai pengurus ekonomi dan kewangan. Untuk itu, pidato dan kenyataan media sahaja tidak memadai.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.
Klik di sini untuk terus membaca