BARU-BARU ini dilakukan pendedahan oleh beberapa media berkaitan masalah dalaman Suhakam. Masalah ini marak lebih besar lagi apabila beberapa media mengulas isu tersebut sehingga ada yang mendesak Pengerusi Suhakam meletak jawatan. Ada juga... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini dilakukan pendedahan oleh beberapa media berkaitan masalah dalaman Suhakam.

Masalah ini marak lebih besar lagi apabila beberapa media mengulas isu tersebut sehingga ada yang mendesak Pengerusi Suhakam meletak jawatan.

Ada juga yang mengatakan Suhakam sudah hilang taring kerana terlalu mementingkan hak golongan majoriti dan membisu dalam isu melibatkan golongan minoriti dan tertindas. Fakta ini perlu dibuktikan jika kita mahukan kebenaran.

Seksyen 4 (4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 menjelaskan bagi maksud akta tersebut, perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perisytiharan Sejagat tersebut tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, apatah lagi mengatasinya.

Inilah limitasi yang menjelaskan setakat mana Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948 (yang mana ketika digubal suara negara kita tidak diambil kira kerana ketika itu Tanah Melayu masih belum mencapai kemerdekaan) boleh terpakai di Malaysia.

Segala badan organisasi jabatan dan sebagainya di dalam Malaysia hendaklah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Ia mesti mengikut acuan watan yang menitik beratkan budaya moral dan agama.

Perlu juga diberikan perhatian bahawa frasa ‘Hak Asasi Manusia’ tidak ada disebut secara harfiah di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah fundamental liberties bukan human rights. Fundamental liberties atau kebebasan asasi berbeza dengan hak asasi manusia.

Kebebasan asasi hendaklah ‘bersulamkan tenunan tempatan dan dipakai molek sejuk mata memandang’, bukan mengimport idea luar yang tidak sesuai dan asing dari norma lazim tempatan.

Tidak semua perkara mengenai hak asasi manusia boleh disemai di dalam negara khususnya yang bertentangan norma lazim tempatan.

Dalam masa sama, kebebasan asasi rakyat Malaysia dijamin Perlembagaan Persekutuan selagi mana ia menurut undang-undang.

Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan telah menyuarakan kegusaran terhadap desakan meletak jawatan kepimpinan Suhakam tersebut kerana inilah kali pertama pertubuhan itu mendapat ruang menyuarakan pandangan mereka.

Saya masih ingat suatu ketika dahulu ketika menjadi Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), menulis secara rasmi untuk berdialog dengan Suhakam, permintaan tersebut langsung tidak dapat direalisasikan dengan pelbagai alasan.

Seperkara penting yang ingin saya bangkitkan di sini ialah kebebasan Suhakam daripada pengaruh asing, lazimnya disemai melalui pemberian dana.

Tidaklah saya katakan semua dana asing mempunyai motif tertentu bagi menjatuhkan negara. Apa yang perlu diingatkan ialah jika kita sudah tahu sesuatu badan itu mempunyai motif tertentu, lebih baik elak daripada menerima dana mereka.

Dana asing apabila diberikan kepada mana-mana badan atau organisasi, mungkin bukan sekadar pemberian. Kita khuatir dalam setiap pemberian itu ada arahan perjanjian atau persefahaman yang mungkin dimeterai.

Apabila ia berlaku, mungkin entiti berkenaan tidak lagi bebas tetapi terpaksa mengikuti telunjuk pihak tertentu.

Oleh itu, wajar penerimaan dana asing ini diumumkan jumlah diterima, tujuan dan apa syarat atau keberhasilan yang diinginkan daripada pemberian dana tersebut.

Badan atau entiti yang menerima dana asing ini mesti telus, bertanggungjawab dan bebas melakukan aktiviti, bukan mengikuti arahan pemberi dana.

Kita tidak mahu orang asing memegang alat kawalan jauh memberi arahan dalam mentadbir negara kita yang berdaulat ini.

Berbalik kepada pelantikan anggota Suhakam yang dibuat mengikut undang-undang itu, lebih baik membiarkan mereka meneruskan mandat yang diberi sehingga tamat penggal.

Mereka baru dilantik pada tahun lepas, terlalu awal untuk mereka menzahirkan hasil yang jitu dalam tempoh singkat.

Saya faham pendekatan berbeza termasuk mendekati Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan mungkin tidak disenangi beberapa kalangan.

Namun, Suhakam perlu bersifat inklusif dalam semua tindakan dan pelaksanaan mereka.

Tiada seorang pun boleh dinafikan kebebasan asasi mereka melainkan menurut undang-undang sama ada mereka daripada kalangan majoriti atau minoriti.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Klik di sini untuk terus membaca