PROSES pendemokrasian Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dengan pembubaran enam buah Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula di Kelantan (22 Jun), Selangor (25 Jun), Kedah (28 Jun), Pulau Pinang (28 Jun), Negeri Sembilan (30 Jun) dan Terengganu (sebelum 1 Julai).
Ini melengkapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan serentak ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu selepas Perak, Pahang dan Perlis memandangkan Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor sudah mengadakannya terlebih dahulu.
Sejarah terpahat dengan enam negeri mengadakan PRN secara berasingan buat kali pertamanya. Kos perbelanjaan dijangka RM420 juta membabitkan 9,781,416 pengundi berdaftar dengan 1,416,903 adalah pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun.
Apakah yang menjadi tumpuan di PRN kali ini? Ini merupakan PRN pertama diadakan selepas pembentukan kerajaan penggabungan beberapa blok sebagai Kerajaan Perpaduan.
Walaupun masih bertanding dengan logo sendiri, PRN ini akan menjadi medan untuk menguji perpaduan blok termasuk agihan kerusi, pemilihan calon, jentera dan keupayaan untuk menang.
Kedua, ia menjadi perhatian ke atas keupayaan Perikatan Nasional (PN) untuk melihat sama ada prestasi mendadak di PRU akan bersifat kekal atau sementara.
Euforia ‘gelombang hijau’ yang memberi pelbagai takrifan ke atasnya membawa jangkaan ke atas prestasi PN untuk kekal mendekati pengundi secara strategik di negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Ketiga, sejauh manakah impak warlord yang disingkirkan atau digantung daripada parti mampu memobilisasi sokongan untuk blok baharu mereka. Ada yang mahu menggunakan ini sebagai referendum ke atas parti UMNO.
Keempat, adakah isu 3R (Religion, Race, Ruler) akan mendominasi yang boleh menyemarakkan lagi politik identiti. Isu lain seperti kos sara hidup, hutang, rasuah dan kadar mata wang masih akan menjadi tumpuan.
Kelima, kali pertama pengundi berumur 18 tahun ke atas akan mengundi bersama pengundi yang didaftar secara automatik untuk enam PRN ini. Bagaimanakah jalur undian mereka? Klasifikasi pengundi lain juga penting seperti pengundi yang setia pada parti dan pengundi atas pagar.
Keenam, lazimnya peratusan keluar undi mempengaruhi keputusan di PRN jika mengambil kira apa yang berlaku di Sarawak (60 peratus), Melaka (65 peratus) dan Johor (55 peratus).
Apakah pengundi luar akan kembali untuk mengundi atau memilih menjadi pemerhati? Peratusan keluar mengundi di PRU ke-15 jatuh hampir 10 peratus daripada 83.32 peratus (2018) kepada 72.89 peratus.
Adakah tren ini akan berterusan atau ada yang tidak mahu keluar mengundi atau melakukan protes senyap ke atas isu yang mendampingi parti yang disokong oleh mereka?
Ketujuh, PRN ini juga mencatat sejarah apabila UMNO dan DAP bekerjasama buat kali pertama atas nama BN dan PH.
Bersediakah penyokong UMNO mengundi calon DAP dan penyokong DAP untuk menyokong calon UMNO atas prinsip kerajaan perpaduan walaupun keputusan di PRN ini tidak menggugat kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memiliki majoriti jelas 148 kerusi di Parlimen.
Kelapan, rata-rata pola gelagat pengundi Melayu menjadi tumpuan sama ada boleh membolosi kerancakan pengundian sedangkan pengundi bukan Melayu dianggap kekal kukuh bersama PH.
Kesembilan, penggunaan media sosial sekali lagi menjadi harapan pada parti sama ada penyebaran maklumat sahih akan berterusan atau dicanangkan dengan berita palsu kerana pengundian juga adalah kemampuan mengurus persepsi.
Kesepuluh, mampukah masing-masing meminimakan sabotaj dalaman atau ‘cah keting’ untuk menggerakkan kemenangan.
PRN ini penting untuk Kerajaan Perpaduan dan PN, maka kehangatan Julai dan Ogos pastinya adalah untuk memeriahkan demokrasi sebelum kita meraikan hari kebangsaan.
Kematangan berpolitik juga akan diuji kerana setiap undi getir untuk menentukan masa depan politik tanah air.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca