KERAJAAN campuran yang dibina oleh pelbagai parti ini bukan sahaja sedang bergelut dalam ketidaktentuan ekonomi, malah turut berhadapan kemerosotan sokongan rakyat berbanding undian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Ketika... Klik di sini untuk terus membaca

KERAJAAN campuran yang dibina oleh pelbagai parti ini bukan sahaja sedang bergelut dalam ketidaktentuan ekonomi, malah turut berhadapan kemerosotan sokongan rakyat berbanding undian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketika penyokong-penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) meraikan kedudukan kukuh mereka dalam kerajaan dengan pelbagai jawatan kanan dan utama, dua parti lain iaitu UMNO dan DAP berhadapan hakisan sokongan penyokong setia mereka.

Setelah berpuluh tahun UMNO berhujah kepada ahli, penyokong dan orang Melayu bahawa DAP adalah ancaman kepada status quo kedudukan bumiputera dan agama Islam di negara ini, kini mereka perlu meyakinkan sebaliknya.

Langkah menyucikan DAP yang paling berani mungkin diambil oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau secara berani dan berterus terang memberitahu Perhimpunan Agung UMNO 2022 bahawa UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU15 kerana parti itu tidak bermuka-muka dan berpura-pura dalam setiakawan.

Bagaimanapun, enam bulan selepas pembentukan kerjasama politik ini, UMNO masih belum mampu meyakinkan akar umbinya, apatah lagi orang Melayu.

Malah, bulan lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh secara terbuka dan lantang meminta DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO sehingga menggores hati semua ahli parti itu.

Ucapan Akmal tersebut merupakan cerminan ketidakpuasan hati akar umbi UMNO. Namun seperti dijangka, Akmal kemudiannya ‘terpaksa’ menukar nada apabila ‘diherdik’ Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Cakap-cakap pengundi DAP akan memboikot pilihan raya umum negeri yang akan berlangsung sekitar awal Ogos nanti sudah kedengaran.

Mereka tidak berpuas hati dengan keadaan pentadbiran dan ekonomi negara masa kini.

Mereka juga tidak berpuas hati dengan DAP yang tampak gagal membawa sebarang perubahan besar seperti dilaung-laungkan.

Atas sebab itulah, bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua terpaksa meyakinkan penyokong DAP bahawa kerajaan campuran ini adalah rapuh dan memerlukan sokongan besar mereka untuk memastikan mereka kekal sehingga akhir penggal.

Tony dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP pada Jumaat lalu itu merayu agar para penyokongnya menghalalkan kerjasama dengan UMNO buat sementara waktu, sehingga Pakatan Harapan (PH) telah menjadi benar-benar kuat untuk membuat perubahan yang dijanjikan.

Beliau juga menyuarakan harapan supaya PH selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam PRU akan datang.

Tony turut mempertahankan tindakan-tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa ini. Menurut beliau, Anwar perlu menjadi populis buat sementara waktu bagi menarik sokongan pengundi di negeri-negeri bukan teras PH bagi membuktikan parti pelbagai kaum mampu membuat lebih baik kepada rakyat.

Beliau mengingatkan penyokong DAP bahawa PH perlu menunjukkan parti pelbagai kaum (seperti PH) boleh melakukan lebih baik berbanding apa yang dilakukan oleh parti berasaskan Melayu dan parti nasionalis.

"Kita juga perlu buktikan boleh melakukan lebih baik berbanding ikatan politik yang korup seperti Barisan Nasional (BN), UMNO serta Bersatu.”

Beliau turut mengingatkan penyokong DAP bahawa ini kerjasama dengan UMNO hanyalah sementara sehingga mereka boleh menjadi kuat.

"Bila kita berjaya, saya sangat yakin dalam tempoh empat tahun (akan datang) apabila kita adakan PRU, PH akan terima sokongan besar daripada rakyat Malaysia.

"Kemudian, kita akan boleh tubuhkan kerajaan sendiri dan melaksanakan reformasi dan perubahan yang kita mahukan di bawah PH demi kebaikan rakyat Malaysia. Itu paling mustahak untuk kita semua,” katanya.

Terkenal sebagai salah seorang strategis utama DAP, pandangan Tony itu bukan sukar difahami. Mereka berhadapan krisis keyakinan dalam kalangan penyokong sendiri.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar).

Klik di sini untuk terus membaca