USAHA Majlis Perbandaran Kuala Kangsar untuk memelihara satu-satunya pokok getah daripada benih pertama dibawa dari Taman Kew, United Kingdom (UK) pada 1877 harus dipuji.
Meski nilai semasa pokok getah berusia 146 tahun itu mencecah RM194,000 dan tegaknya di tengah kota, mereka masih bersungguh menjaganya dengan belanja RM3,000 hingga 5,000 setahun.
Cuma, alangkah baiknya usaha sebegitu juga dibuat untuk memelihara taman-taman awam yang kian hilang serinya di bandar raya.
Siapa yang berkunjung ke London misalnya, pasti tak akan melepaskan peluang berjalan-jalan sambil menikmati keindahan taman diraja iaitu Hyde Park atau St James Park yang begitu indah.
Di London sahaja, ada lapan taman diraja termasuklah Regents Park, Green Park, Kensington Gardens, Greenwich, Richmond dan Bushy Park.
Taman-taman itu punya sejarah unik dan tersendiri. Dahulu tamannya tidaklah seperti sekarang. Walaupun disebut taman, kebanyakannya hanyalah kawasan hutan tempat raja dan hulubalangnya memburu haiwan liar. King Henry VIII dan Queen Elizabeth I katanya amat gemar memburu rusa di Hyde Park.
Ketika zaman perang atau pemberontakan ke atas raja, taman tersebut turut dijadikan tembok atau untuk membina kubu pertahanan istana. Apabila pemerintahnya mula sibuk menjajah dunia dan revolusi industri sedang giat berlangsung, taman itu kurang dipedulikan.
Orang awam masuk memburu dan mencari kayu api sewenang-wenangnya. Sampai suatu ketika, kebanyakan ‘taman hutan’ itu menjadi gondol dan hampir tiada lagi hasil pemburuan. Ia bukan lagi hutan, apatah lagi taman.
Usaha memperindah taman hanya bermula pertengahan kurun ke-19. Hyde Park misalnya, mula ditanam pelbagai jenis bunga pada 1860 oleh William Nesfield, disusuli membina air pancut, rumah kaca, rumah rehat musim panas dan pelbagai tugu yang menjadi tempat orang istana serta golongan elitis beriadah.
Frank Clark antara yang giat mengkaji sejarah taman. Menurutnya, taman-taman itu dibuka kepada orang awam susulan desakan ke atas pihak istana oleh pemilik industri ketika itu. Mereka begitu bimbang kemerosotan produktiviti kilang susulan peningkatan penyakit mental dalam kalangan pekerja.
Mereka percaya masalah itu berkait rapat dengan struktur bandar yang dipenuhi besi dan konkrit. Memandangkan hampir semua pekerja kilang datang dari kawasan kampung yang begitu kaya dengan unsur alam semula jadi, terlalu lama berada di bandar membuatkan jiwa mereka mudah terganggu.
Nyata telahan mereka benar. Sebaik sahaja lebih banyak taman dibuka untuk orang awam, produktiviti industri kembali pulih dan kadar penyakit mental berjaya dibendung. Taman bukan sekadar tempat beriadah, malah untuk bersosial.
Kini sudah ada lambakan kajian saintifik untuk mengaitkan kesan positif alam semula jadi terhadap kesihatan. Kajian Profesor Ulrich antara paling banyak dirujuk. Kajian paling popularnya menunjukkan pesakit yang baru menjalani pembedahan sembuh lebih cepat apabila mereka memandang alam semula jadi dari jendela wad.
Taman juga boleh menjadi terapi yang baik bagi membantu kanak-kanak menghidap pelbagai behavioural disorder. Tidak hairanlah UK hari ini ada sekurang-kurangnya 27,000 taman, kebanyakan berdekatan kawasan perumahan.
Taman mereka juga ada ramai pengunjung.
Kajian oleh Historic England ke atas 72 taman utama di UK melaporkan sekurang-kurangnya setiap tahun ada 37 juta pengunjung dan menjana sehingga kira-kira RM5 bilion nilai faedah langsung serta tidak langsung daripada taman berkenaan.
Kebanyakan taman itu diuruskan pihak berkuasa tempatan.
Namun, dengan jumlah taman awam sebanyak itu, tentulah peruntukan menjaganya juga sangat tinggi saban tahun. Ironinya, sejak sedekad lalu, peruntukan bagi taman-taman awam oleh kerajaan telah dikurangkan lebih RM3.6 bilion untuk menampung aktiviti pembangunan lain.
Khuatir kualiti taman semakin merosot, banyak pihak mula mendesak kerajaan meningkatkan semula jumlah peruntukan. Bagi mereka, taman bukan sekadar memperindah kota tetapi tempat mereka bergantung untuk hidup sihat dan sejahtera.
Kita sebuah negara tropika yang sepatutnya lebih hijau. Sayangnya kita tak punya citra sama dengan warga negara maju seperti UK. Taman awam kita seperti dibina cukup sekadar ada. Yang ada pula jarang sekali rapi dijaga meski belanjanya mungkin tidak setinggi mana.
Seharusnya kita tidak melihat 7,843 taman awam kita sekadar pengindah kota. Jika kita memandangnya sebagai alat untuk membantu rakyat hidup dengan lebih sihat dan sejahtera, pastilah kita tidak berkira-kira untuk melabur lebih banyak untuknya.
Nota: Pembetulan kepada artikel Cara UK Menangani Obesiti (19 Jun 2023) – Kerajaan UK membelanjakan RM240 juta untuk projek perintis suntikan Wegovy bagi menangani obesiti, bukan RM240 bilion.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca