TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan istilah ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan rakyat bermula Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tidak tepat... Klik di sini untuk terus membaca

TIMBALAN Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan istilah ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan rakyat bermula Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tidak tepat dan bersifat momokan bagi membangkitkan ketakutan pengundi bukan Melayu.

Hakikatnya, bekas Menteri Besar Perak itu menegaskan istilah gelombang kebangkitan rakyat menolak pemimpin yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi adalah lebih tepat dan sesuai digunakan berbanding ‘gelombang hijau’.

"Rentetan kebangkitan rakyat itu, berlaku peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PN pada PRU15 lalu dan ia berlaku cukup hebat di negeri majoriti pengundi Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah dan kini diperluas ke seluruh negara,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas sama ada istilah ‘gelombang hijau’ yang kini menjadi fenomena politik negara pasca PRU15 benar-benar memberi kelebihan kepada PN bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.

Dalam satu segmen podcast ‘Keluar Sekejap’ dihoskan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, Khairy atau KJ menyatakan beliau tidak bersetuju dengan istilah ‘gelombang hijau’ digunakan beberapa pemimpin DAP seperti Tan Sri Lim Kit Siang bagi menggambarkan fenomena kebangkitan PN pada PRU15.

Jelas KJ, istilah ‘gelombang hijau’ sebenarnya membawa konotasi negatif seolah-olah fenomena kebangkitan PN dibayangi penularan ekstremisme agama ala rejim Taliban dan bukan merujuk diskripsi warna lambang Pas iaitu hijau.

Turut senada, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman yang menyifatkan istilah ‘gelombang hijau’ sekadar propaganda untuk menyebar konotasi negatif terhadap PN.

"Untuk negeri majoriti Melayu mungkin istilah ‘gelombang hijau’ tidak membawa masalah, namun untuk negeri seperti Selangor ia kurang sesuai digunakan.

"Oleh demikian, dalam mendepani PRN di Selangor, PN perlu membawa perjuangan yang menumpukan kepada pelbagai agenda berkaitan kepentingan rakyat,” ujar beliau.

TUNJANG UTAMA EKONOMI

Walaupun mengakui sokongan semakin meningkat terhadap PN pasca PRU15, parti itu tidak boleh leka dalam PRN di Selangor, negeri yang merupakan tunjang utama ekonomi negara.

"Untuk Selangor, pendekatan PN lebih berkisar kepada isu ekonomi, isu tempatan contohnya alam sekitar dan isu integriti.

"Kita tidak sentuh isu sensitif yang dianggap 3R (race, religion, rulers) oleh pihak satu lagi dan kita juga mahu menolak dakyah bahawa PN guna isu kaum untuk mempromosi parti,” kata Muhammad Faiz.

Sementara itu, seorang pengkaji politik tempatan menegaskan PN tidak boleh selesa dengan kebangkitan gelombang rakyat yang memihak kepada mereka susulan PRU15.

Sebaliknya, Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi menegaskan PN perlu menawarkan kepimpinan kuat dan pelan strategik lebih baik dalam mendepani PRN enam negeri terutama di Selangor.

Tambahnya, rakyat Selangor akan cenderung membandingkan prestasi PN menguruskan negeri-negeri yang dikuasai parti tersebut berbanding indikator kemajuan dinikmati mereka ketika ini.

"Tidak kira sama ada ‘gelombang hijau’ atau ‘gelombang biru tua’, saya tidak melihat fenomena politik itu sebagai kempen utama PN untuk menawarkan sesuatu kepada rakyat.

"Gelombang ini terhasil semasa PRU15, bersifat penolakan terhadap persaingan kuasa dalaman UMNO dan kegagalan 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14.

"Walaupun pencapaian ekonomi Selangor antara yang terbaik berbanding negeri-negeri lain sejak tiga penggal lalu, namun naratif PRN Selangor sedikit sebanyak dipengaruhi sentimen di peringkat nasional.

"Sebagai contoh, sentimen itu berkait terhadap hubungan politik PH-BN berikutan beberapa kenyataan kontroversi pemimpin politik PH-BN ke atas satu sama lain, isu pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta prestasi urus tadbir kerajaan Persekutuan menangani cabaran ekonomi,” ujar Anis Anwar.

TERLALU AWAL

Tambahnya, masih terlalu awal untuk menjangkakan kerusi yang boleh dimenangi PN, namun prestasi Pas berbanding PRU14 dan PRU15 bagi kerusi-kerusi di Selangor akan menunjukkan perbezaannya dalam gabungan PN kini.

"Sekiranya terbukti berlaku pertembungan dua penjuru pada PRN Selangor, PN memiliki kelebihan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan komposisi pengundi Melayu 70 peratus ke atas. Tetapi bilangan kerusi ini saja belum cukup untuk menubuhkan kerajaan negeri.

"Sementara bagi kerusi DUN Melayu bawah 70 peratus dan campuran akan menjadi kompetitif untuk PN sekiranya undi Melayu berpecah dan ini memberi kelebihan kepada calon Kerajaan Perpaduan,” tambah Anis Anwar.

Ujar Anis Anwar lagi, dalam konteks segmentasi pengundi PRN, pengundi PN dijangkakan merupakan segmen terbesar yang akan turun mengundi kali kedua selepas PRU15.

Jelasnya, hal ini susulan rangsangan moral daripada pemimpin mereka yang meyakinkan peluang kemenangan PN cukup baik.

Bahkan, Anis Anwar menjangkakan pengundi PH khususnya daripada etnik Cina mungkin menunjukkan corak berbeza.

"Berdasarkan PRN Melaka, Johor dan pilihan raya kecil (PRK) seperti Tanjung Piai, kadar peratusan turun mengundi mereka agak rendah.

"Ia merupakan tanda protes terhadap kerajaan PH yang menguruskan Kongres Maruah Melayu semasa PRK Tanjung Piai dan kelemahan politik PH setelah menjadi pembangkang semasa PRN Melaka dan Johor.

"Justeru, dengan cabaran ekonomi seperti isu kos sara hidup dan kedudukan Ringgit Malaysia yang belum menunjukkan tanda pemulihan, pengundi Cina di Selangor dijangka mengulangi sikap seperti pengundi Cina semasa PRN Melaka dan Johor. Ini menjadi mesej mereka kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional," tegasnya.

Dalam pada itu, Anis Anwar turut mengunjurkan pengundi BN masih berbelah bahagi untuk turut terlibat dalam pilihan raya negeri atau sebaliknya.

"Hal ini memandangkan ketiadaan usaha yang serius membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak selain kenyataan pemimpin PH yang banyak mengguris hati akar umbi UMNO itu sendiri,” katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca