ISU kira-kira 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022 menunjukkan betapa serius haluan masa depan generasi muda di negara ini yang secara tidak langsung agak bercanggah dengan agenda pendidikan... Klik di sini untuk terus membaca

ISU kira-kira 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022 menunjukkan betapa serius haluan masa depan generasi muda di negara ini yang secara tidak langsung agak bercanggah dengan agenda pendidikan nasional.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika sidang Dewan Rakyat telah mengesahkan seramai 29,663 daripada 388,832 calon tidak mengambil peperiksaan awam itu tahun lalu. Jumlah tersebut termasuk calon yang berdaftar mengambil satu mata pelajaran dalam peperiksaan itu.

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai menyuarakan kebimbangan mengenai nasib dan masa depan kesemua pelajar berkenaan tanpa kelayakan akademik yang kukuh. Kira-kira 30,000 pelajar berkenaan bakal berdepan cabaran untuk bersaing mendapatkan pekerjaan sesuai dengan gaji setimpal di pasaran kerja.

Kekurangan kelayakan akademik tanpa sijil SPM sememangnya membawa kekangan besar untuk memohon pekerjaan sama ada di sektor awam atau swasta. Negara membangun seperti Malaysia amat bergantung kepada pembangunan modal insan bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

Tentunya negara berdepan ‘kelumpuhan’ jika melihat kepada senario generasi muda dalam menimba pendidikan akademik asas mahupun kemahiran sains dan teknologi pintar.

Kini Malaysia terpaksa mengimport pekerja asing untuk memenuhi pasaran kerja tempatan. Jika generasi muda semakin mengabaikan tanggungjawab mereka, ia boleh memberi ancaman besar kepada variasi sektor dengan kekurangan kepakaran rakyat sendiri.

Jelas Makkal Osai, pandemik Covid-19 telah menyebabkan kerajaan ketika itu mengambil keputusan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Justeru, SPM adalah penting bagi pelajar melayakkan diri mendapatkan sijil akademik untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, seterusnya memasuki pasaran kerja.

Dalam pada itu, menurut Makkal Osai, KPM melalui program pendidikan khas boleh melaksanakan solusi terbaik dengan memberi peluang kedua kepada pelajar untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Perniagaan sendiri

Isu keciciran calon SPM bukan berlaku pada 2022 sahaja, malah berlarutan setiap kali peperiksaan awam itu dilaksanakan sebelum ini.

Selain hilang minat belajar, majoriti mereka telah merasai gaji lumayan daripada pekerjaan sambilan ataupun perniagaan online. Trend menjalankan perniagaan sendiri terutama melibatkan makanan telah mewujudkan persepsi bahawa mudah menjana pendapatan melalui strategi tersebut dan kelayakan akademik tidak penting untuk mendapat gaji besar.

Tegas Makkal Osai, pemikiran generasi muda yang tidak mengendahkan ilmu dan pendidikan semata-mata untuk menjalankan perniagaan sendiri tentu sekali menjadi halangan besar kepada KPM serta kerajaan dalam melahirkan pakar-pakar bagi membangunkan sektor ekonomi negara.

Oleh itu, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian terbaik dan menggalakkan pelajar meneruskan pen-didikan dalam bidang kemahiran teknologi supaya masa depan mereka lebih terjamin.

Pada masa sama, pihak sekolah khususnya barisan pengetua harus turun padang dengan menghubungi pelajar yang tidak hadir untuk menduduki peperiksaan SPM dan mengetahui sebabnya.

Pengurusan sekolah juga perlu membantu pelajar dengan memberi nasihat sewajarnya agar mereka dapat melengkapkan tanggungjawab untuk memperoleh sijil SPM.

Isu keciciran calon SPM yang gagal menduduki peperiksaan tersebut wajar diberi perhatian serius oleh KPM dan pihak kerajaan agar jumlah terlibat itu susut pada tahun-tahun akan datang.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor.

Klik di sini untuk terus membaca