SHAH ALAM - "Jalankan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.” Itu antara titipan pesanan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap pelantikan baharu dua kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tan Sri Razarudin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - "Jalankan tanggungjawab dengan jujur dan amanah.” Itu antara titipan pesanan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap pelantikan baharu dua kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tan Sri Razarudin Husain dan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay masing-masing dilantik sebagai Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa pada 23 Jun lalu.

Menurut Musa, setiap tugas dipertanggungjawab mempunyai amanah yang perlu dipikul dengan jujur bagi memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Kenaikan pangkat ada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Musa berkata, gandingan baharu Razarudin dan Ayob Khan diharap dapat membawa perubahan baharu kepada PDRM dalam menentukan visi dan misi pasukan.

Menurutnya, kedua-dua individu tersebut diyakini dapat meneruskan imej terbaik PDRM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Selain itu, penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan dengan cekap, tegas dan amanah. Integriti merupakan aspek penting dalam PDRM bagi memastikan nama baik pasukan terus terpelihara.

"Ketegasan juga amat penting meliputi aspek membanteras jenayah dan kegiatan haram bersindiket yang boleh mewujudkan masalah sosial dan mengambil tindakan terhadap ketua-ketua sindiket.

"PDRM perlu dilihat sebagai satu elemen yang bebas daripada campur tangan mana-mana pihak. Jangan sesekali bersikap pilih kasih atau bias terhadap sesuatu pihak terutamanya dalam tindakan yang melibatkan politik,” katanya.

Musa yang berpengalaman 41 tahun dalam PDRM sebelum ini dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 12 September 2006 dan memegang jawatan tersebut selama empat tahun.

Antara jawatan penting yang dipegang oleh Musa termasuk Ketua Polis Johor (2003), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2004), sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara (2006).

Dalam pada itu, seorang lagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut merakam ucapan tahniah dan penghargaan di atas pelantikan kedua-dua individu berkenaan dalam jawatan tertinggi PDRM.

Malah, Abdul Hamid menyifatkan gandingan Razarudin dan Ayob Khan sebagai terbaik dalam memartabatkan PDRM.

"Kedua-dua gandingan itu terbaik dan saya ucapkan tahniah atas pelantikan tersebut.

"Sentiasa menjadikan PDRM sebagai satu elemen penguatkuasaan yang disegani dan diharap memperhebatkan misi mendaulatkan undang-undang,” ujarnya.

Abdul Hamid memegang jawatan Ketua Polis Negara secara kontrak pada 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Klik di sini untuk terus membaca