PESAWAH adalah tulang belakang dan aset negara yang memainkan peranan penting apabila mengusahakan tanaman padi untuk membekalkan sumber makanan utama untuk rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kebanyakan pesawah terdiri dari golongan... Klik di sini untuk terus membaca

PESAWAH adalah tulang belakang dan aset negara yang memainkan peranan penting apabila mengusahakan tanaman padi untuk membekalkan sumber makanan utama untuk rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, kebanyakan pesawah terdiri dari golongan berpendapatan rendah (B40) dan mempunyai pendapatan tidak menentu, walaupun mereka bekerja keras membanting tulang bagi menjamin rantaian sekuriti makanan negara.

Dilahirkan dalam kalangan keluarga pesawah padi, Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad mahu nasib golongan terus diberikan perhatian dan taraf kehidupan mereka dipertingkatkan.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NURUL HIDAYAH HAMID bersama beliau bagi membincangkan isu-isu berkaitan pesawah.

SINAR HARIAN: Yang Berhormat (YB) dilihat amat prihatin dan ambil berat tentang isu melibatkan pesawah padi. Apakah isu-isu melibatkan pesawah yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan dan mengapa ia penting untuk diberi perhatian sewajarnya?

ABD GHANI: Ya. Hal ini disebabkan saya dilahirkan di kalangan keluarga pesawah padi di Ayer Hitam, Jerlun. Malah, saya pernah terlibat membantu ayah ke sawah padi ketika musim cuti sekolah sejak Tingkatan Satu hingga Enam sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Jadi, saya tahu kesusahan dan jerit perih pesawah dalam mengusahakan sawah. Bagi saya, antara isu melibatkan pesawah perlu diberi tumpuan adalah kebajikan mereka.

Bayangkan nasi yang dihidangkan dalam pinggan di atas meja kita setiap hari adalah hasil dari titik peluh dan keringat petani yang berpanas terik membasahi peluh, membanting tulang, berkorban demi menjamin seluruh rakyat Malaysia menikmati makanan asasi ini dengan secukupnya setiap hari.

Tetapi, nasib dan kebajikan mereka dikhuatiri terabai dan tidak dipedulikan.

Bagi membalas pengorbanan dan penat lelah para pesawah ini, saya mencadangkan kerajaan mewujudkan skim perlindungan kepada mereka dengan membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara percuma kepada semua pesawah yang berdaftar demi menjaga kebajikan mereka.

SINAR HARIAN: Adakah inisiatif sedia ada mencukupi atau perlu penambahbaikan, sekali gus usaha boleh dilakukan kerajaan untuk membantu pesawah meningkatkan pendapatan dan hasil pengeluaran padi mereka?

ABD GHANI: Pada Mac lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan akan memberi bantuan satu musim sebanyak RM200 sebulan, yang mana petani boleh mendapat tambahan sebanyak RM600 sekarang untuk tempoh tiga bulan.

Selain itu, 30 peratus keuntungan daripada syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan diperuntukkan kepada petani pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berunding dengan BERNAS supaya sebahagian keuntungan mereka dinikmati oleh para petani.

Antara inisiatif lain, termasuklah bantuan tambahan RM250 bagi pesawah di Kedah, Kelantan, Pahang, Terengganu. Kelantan dan Pahang diberi sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, saya lihat tiada jawapan yang tuntas tentang isu subsidi baja, racun, benih dan menaikkan harga padi.

Sehubungan itu, subsidi input pertanian seperti racun dan baja juga perlu dinaikkan.

Muktahir ini, harga input pertanian tersebut naik mendadak saban tahun antara 40 hingga 100 peratus dan ia amat membebankan pesawah.

Saya ambil contoh di Kedah, tahun 2023, peruntukan subsidi racun telah dipotong menjadikan subsidi berjumlah RM57.14 sahaja serelung (0.28777 hektar) berbanding tahun lepas sebanyak RM85.71 untuk keluasan yang sama.

Bagi menggalakkan peningkatan hasil padi, kerajaan perlu menaikkan subsidi pengeluaran padi daripada RM360 per tan metrik kepada RM400 per tan metrik selari dengan kenaikan harga beras di pasaran.

Harga padi juga tidak selaras antara negeri-negeri yang terdapat kawasan sawah padi. Contohnya, di Perak harga padi dibeli oleh pengilang sehingga RM1,300 (satu tan metrik). Di Selangor RM1,350 sedangkan di Kedah dan Perlis hanya RM1,280 sahaja, sedangkan harga beras dijual di pasaran dengan harga yang selaras.

Ini menunjukkan nasib pesawah tidak dibela dengan adil sedangkan merekalah yang menghasilkan padi yang bertukar menjadi beras untuk memenuhi keperluan makanan rakyat dalam negara kita.

Oleh itu, kerajaan disaran membuat semakan harga lantai padi, dinaikkan dan diselaraskan kepada RM1,400 per metrik tan di seluruh Malaysia.

SINAR HARIAN: Kenaikan kos input pertanian antara cabaran utama yang membebankan pesawah. Apakah penyelesaian yang boleh disuarakan YB untuk selesaikan masalah ini di Parlimen?

ABD GHANI: Jika kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah berharga RM5 sebagai alternatif mengurangkan bebanan hidup rakyat, maka kerajaan juga perlu melihat kenaikan kos input pertanian seperti racun dan baja pada setiap masa.

Kenaikan harga racun keluaran tempatan yang melambung tinggi telah mendorong pesawah tempatan beralih menggunakan racun keluaran Thailand dan China.

Sedangkan, racun keluaran dua negara tersebut tidak diluluskan oleh pihak berkuasa dan penggunaannya belum lagi diuji selamat terhadap alam sekitar dan pesawah setakat ini.

Sehubungan itu, kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme kawalan harga racun dan baja sepertimana kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah.

SINAR HARIAN: Sebagai ahli Parlimen Jerlun, bagaimana YB mahu membantu rakyat khususnya golongan pesawah meningkatkan pendapatan mereka?

ABD GHANI: Di bawah kluster Industri Makanan dan Keusahawanan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang merupakan agensi di bawah KPKM juga menjalankan program pembangunan usahawan.

Sehubungan itu, pelbagai aktiviti dijalankan bagi merancakkan ekonomi dan memaksimumkan pendapatan pesawah melalui pelbagai sumber untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong B40.

Selaras dengan itu, pelbagai produk dihasilkan oleh pesawah dan keluarga mereka di bawah inisiatif ini. Bagaimanapun, golongan terbabit gagal memasarkan produk mereka sebagai satu langkah untuk menjana pendapatan sampingan.

Jadi, saya cadangkan kerajaan beri peruntukan khas kepada MADA untuk membuka dan membangunkan sekurang-kurangnya dua pusat pengumpulan produk dan latihan pemasaran di setiap wilayah MADA atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) agar pesawah berupaya memasarkan produk mereka atau eksport ke luar negara.

SINAR HARIAN: Inap desa Kampung Jeruju antara tarikan di Parlimen Jerlun. Bagi YB, apa yang perlu dilakukan untuk merancakkan kembali sektor pelancongan di kawasan itu?

ABD GHANI: Inap desa Kampung Jeruju ini diuruskan oleh PPK MADA F-II Jerlun. Setakat ini, sebanyak 20 rumah yang diubahsuai dan diberi lesen pelaksanaan inap desa tersebut.

Terdapat beberapa aktiviti dengan suasana kekampungan boleh dilakukan di Kampung Jeruju, termasuklah memancing dan membuat kuih tradisional.

Justeru, saya cadang supaya MADA untuk menaik taraf prasarana di kawasan tersebut, seperti surau sedia ada dilengkapkan dengan bilik air dan tandas selesa untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung.

Malah, petugas kebersihan perlu disediakan untuk memastikan kebersihan berterusan kawasan inap desa itu. Antara lain, pihak berkenaan perlu memastikan kemudahan dewan orang ramai dilengkapi dengan kemudahan yang sesuai untuk majlis perkahwinan.

Selain itu, kawasan pantai di Kuala Jerlun merupakan lokasi menarik di kawasan ini.

Jadi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama MADA juga perlu menaiktaraf kawasan pesisiran pantai atau laut dengan fasiliti seperti medan ikan bakar, kawasan rekreasi dan trek sukan berbasikal serta jalan kaki untuk menarik perhatian orang luar untuk melawat kawasan ini.

PROFIL

DR ABDUL GHANI AHMAD

ASAL: Ayer Hitam, Jerlun

STATUS: Berkahwin

UMUR: 53 tahun

PENDIDIKAN:

* Kolej Islam Sultan Alam Shah, Selangor (1988-1989)

* Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor (1990-1994)

* Universiti Utara Malaysia, Kedah (2013-2018)

JAWATAN:

* Ahli Parlimen Jerlun

* Ahli Badan Perhubungan Pas Kedah

* Yang Dipertua Pas Kawasan Jerlun

Klik di sini untuk terus membaca